KUALA LUMPUR 5 Mac — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti kira-kira 66,000 perniagaan melalui platform e-dagang yang tidak memiliki atau mematuhi anggaran bayaran ansuran cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam satu kenyataan, agensi tersebut berkata, ketirisan berkenaan dikesan menerusi penyerahan e-invois, yang mengandungi butiran individu dan syarikat yang beroperasi melalui platform e-dagang sejak 1 Ogos tahun lepas.
“Semakan LHDN juga mendapati bahawa langsung tiada rekod penyerahan borang nyata cukai pendapatan perniagaan mereka. Sebanyak 66,000 perniagaan itu telah mengeluarkan sejumlah empat juta e-invois," tambah kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, LHDN menggesa pengusaha perniagaan berkenaan agar sentiasa aktif dalam mengemas kini rekod cukai mereka dan perlu memastikan pematuhan penuh untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan.
"Melalui pelaksanaan e-Invois sejak tahun lalu, LHDN secara proaktif telah memantau data pembayar cukai yang sudah disahkan dalam sistem MyInvois bagi memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan berterusan," katanya.
Langkah itu selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara dan setakat 3 Mac lalu, LHDN merekodkan kira-kira 196 juta e-invois dikeluarkan, meliputi para peserta sukarela dari fasa pertama, kedua dan ketiga.
Perkembangan tersebut ujar agensi berkenaan, turut menunjukkan bahawa tahap penerimaan yang begitu positif dalam kalangan pembayar cukai di seluruh negara untuk mematuhi pelaksanaan sistem e-invois.
"LHDN juga ingin memaklumkan yang tempoh tangguh bagi pembayar cukai Fasa Satu telah berakhir pada 31 Januari, dan mereka dikehendaki melaksanakan sepenuhnya e-invois mengikut garis panduan mulai 1 Februari," katanya. - DagangNews.com








