KUALA LUMPUR 5 Nov – Program Dana Uji Beli (DUB) dan Dana Mudahcara (DMM) di bawah inisiatif MySTI menunjukkan keberkesanan dalam pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat teknologi Malaysia, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Kementerian itu berkata, dana tersebut bertujuan memastikan produk teknologi tempatan berpotensi dapat diuji, dibuktikan keberkesanan serta disokong melalui pembiayaan bagi membolehkan syarikat memenuhi keperluan pasaran, termasuk permintaan daripada agensi kerajaan.
“Setakat September 2025, sebanyak 42 projek di bawah Dana Uji Beli telah diluluskan melibatkan 33 produk MySTI daripada 28 syarikat tempatan, dengan jumlah peruntukan RM4.7 juta.
“Daripada jumlah itu, sembilan projek telah menamatkan fasa pengujian, dengan satu produk berjaya memperoleh perolehan kerajaan bernilai RM1.6 juta, manakala beberapa lagi sedang dalam rundingan bersama kementerian berkaitan,” kata MOSTI dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) ingin tahu keberkesanan DUB dan DMM dalam memacu pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan, mekanisme pemantauan impak terhadap kadar pengkomersialan R&D serta kemampuan teknologi tempatan bersaing di peringkat ASEAN.
Tambah MOSTI, bagi projek yang tamat pengujian, kementerian atau agensi terlibat menyediakan laporan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan produk sekali gus membantu meyakinkan pembeli lain tanpa perlu pembuktian konsep tambahan.
Sementara itu, Dana Mudahcara disediakan untuk membantu syarikat teknologi tempatan yang telah menerima tawaran atau kontrak kerajaan supaya dapat melaksanakan tempahan tanpa kekangan modal.
“Sehingga kini, dua projek diluluskan bernilai RM783,800 bagi menyokong perolehan kerajaan berjumlah RM827,900.
“Pembiayaan kedua-dua dana ini membantu syarikat tempatan menanggung kos pembuatan, bahan mentah dan peningkatan kapasiti penyampaian.
“Sokongan ini juga membuka peluang kepada syarikat pemula untuk bersaing dengan pemain industri yang lebih besar dan meningkatkan keyakinan pasaran terhadap teknologi tempatan,” kata MOSTI.
Tambah kementerian itu, kadar pengkomersialan projek penyelidikan yang dibiayai kerajaan dipantau melalui sistem pemantauan dan penilaian berstruktur termasuk penetapan KPI seperti kadar komersialisasi, permohonan harta intelek, hasil jualan produk berasaskan teknologi tempatan dan jumlah syarikat pemula yang berjaya menembusi pasaran serantau.
Berdasarkan maklum balas survei sepanjang tempoh rintis program MySTI dari Jun 2023 hingga Mei 2025, nilai perolehan agensi kerajaan terhadap produk MySTI melebihi RM29 juta, mencerminkan potensi besar program berkenaan dalam merancakkan nilai komersial hasil R&D tempatan. - DagangNews.com








