30 jenama pengusaha tempatan sertai Festival Kopi Selangor 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

30 jenama pengusaha tempatan sertai Festival Kopi Selangor 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Sebanyak 30 jenama dan pengusaha kopi tempatan dari sembilan daerah di Selangor akan menyertai Festival Kopi Selangor 2025.

 

Festival itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Oktober ini di The Curve, Damansara, Petaling Jaya.

 

Acara anjuran Tourism Selangor itu turut menarik penyertaan pengusaha kopi antarabangsa dari Vietnam, Indonesia, Singapura dan beberapa negara serantau lain, menjadikannya platform penting untuk memperkenalkan kopi tempatan ke pasaran lebih luas.

 

 

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, festival akan menjadi ruang strategik buat pengusaha kafe, pembekal biji kopi, barista serta komuniti kopi untuk meneliti perkembangan teknologi dan inovasi terkini. 

 

“Acara ini juga akan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab kopi dan destinasi pelancongan gaya hidup utama di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Antara acara menarik yang dirancang termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel dan forum industri serta aktiviti interaktif untuk pengunjung.

 

Acara kemuncak festival ialah ASEAN Barista Championships yang mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara dalam saingan serantau, memberi peluang kepada peserta tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pakar antarabangsa.

 

Festival ini turut diserikan dengan persembahan muzik oleh beberapa artis tempatan serta gelanggang pickleball percuma bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan pengunjung. 

 

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, penganjuran festival kopi itu juga adalah sebahagian daripada usaha menyokong Tahun Melawat Selangor 2025 di bawah tema ‘Selangor Kan Ada’ dengan memfokuskan pelancongan gaya hidup, gastronomi dan acara bertaraf antarabangsa.

 

Penganjur menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung terdiri daripada komuniti pencinta kopi, pemain industri F&B, barista profesional, usahawan muda serta pelancong tempatan dan luar negara sepanjang festival berlangsung. - DagangNews.com