KUALA LUMPUR 9 Okt - Sebanyak 10 peserta daripada universiti, syarikat pemula (start-up) dan syarikat spin-off telah dipilih menyertai BioInnovation Launchpad 2025, menampilkan 10 produk berasaskan bio-inovasi dengan potensi nilai pasaran mencecah RM13 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata produk-produk berkenaan bukan sahaja bersedia untuk dikomersialkan dan menerima pelaburan, malah menawarkan penyelesaian berimpak tinggi dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan, bioteknologi pertanian dan keterjaminan makanan, makanan berasaskan bio, serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui BioInnovation Launchpad 2025 berhasrat menangani cabaran pengkomersialan inovasi negara, khususnya dalam industri berasaskan bio dan bioteknologi,” katanya semasa pelancaran program tersebut hari ini.
Menurut beliau, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah kadar pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di Malaysia yang masih rendah — kurang daripada 10 peratus berjaya dikomersialkan, berdasarkan kajian oleh Universiti Putra Malaysia pada 2025.
“Masalah ini berpunca daripada kekurangan dana, kemahiran keusahawanan dan bimbingan berterusan.
"BioInnovation Launchpad 2025 yang dikendalikan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation tampil unik kerana menawarkan sokongan menyeluruh dan berpanjangan, berbeza daripada program keusahawanan lain yang biasanya terhad kepada bantuan jangka pendek,” jelas beliau.
Sementara itu, CEO Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata program ini memberi hala tuju jelas kepada graduan, penyelidik dan usahawan dalam memacu pengkomersialan inovasi bio, dengan matlamat melahirkan syarikat pemula berpotensi mencapai status Bio-based Accelerator (BBA) atau BioNexus.
“Melalui program ini, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10 usahawan bio dibangunkan sebagai peneraju masa depan syarikat berstatus BBA atau BioNexus. Mereka akan menerima sokongan menyeluruh merangkumi bimbingan, akses pasaran, bantuan regulatori, peluang pembiayaan dan fasilitasi lain.
"Usaha ini akan memastikan inovasi bio mereka berkembang menjadi perniagaan mampan dan berskala besar, sekali gus meletakkan Malaysia di peta dunia dan menyumbang kepada sasaran 5% KDNK menjelang 2030 di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” katanya.
Para peserta akan berpeluang membentangkan cadangan perniagaan inovasi bio mereka kepada pelabur, pemberi dana dan syarikat modal teroka semasa ‘Hari Demo BioInnovation Launchpad’ yang diadakan bersempena BioXCeed 2025 di NICE 2025.
Tiga pemenang utama akan menerima dana permulaan berjumlah RM60,000 sebagai pemangkin pengkomersialan, manakala pemenang kategori Best Pitcher dan People’s Choice masing-masing akan menerima hadiah RM5,000.
BioXCeed 2025 merupakan gabungan dua platform inovasi hasil kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), yang mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua organisasi untuk melangkaui batasan inovasi.
Inisiatif ini juga selaras dengan matlamat NICE 2025 dalam melahirkan penyelesaian praktikal yang berupaya membawa produk dan teknologi tempatan ke peringkat pengkomersialan serta menembusi pasaran global. - DagangNews.com








