KUALA LUMPUR 7 Mac - Jerasia Capital Bhd. mengumumkan 3 anak syarikat milik penuhnya telah memohon Perintah Pengurusan Kehakiman (Perintah JM) untuk membenarkan penstrukturan semula dan penyelarasan kewangan.
Ia membabitkan Jerasia Fashion Sdn. Bhd., Jerasia Apparel Sdn. Bhd. dan Canteran Apparel Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat yang terlibat dalam pembuatan pakaian dan operasi runcit itu menjelaskan segmen pembuatan dan runcitnya terjejas sejak penularan pandemik COVID-19.
Katanya, sekiranya memperoleh kebenaran perintah itu, ia membolehkan kumpulan mendapat penglibatan profesional bebas untuk memudahkan penstrukturan semula dengan bantuan lembaga pengarah dan pengurusan.
"Perintah ini juga dapat memulihkan syarikat dengan gabungan beberapa pendekatan untuk mengatur keadaan kewangan kumpulan, memaksimumkan pulangan kepada pemiutang dan nilai kepada pemegang saham Jerasia dan menyusun semula hutang kepada pemiutang mereka.
"Segmen peruncitan dan pembuatan telah beroperasi di bawah keadaan kewangan dan operasi yang buruk sejak wabak COVID-19," katanya.
Kumpulan itu berkata, beberapa fasa sekatan pergerakan yang dilaksanakan telah menyebabkan penutupan beberapa kedai dan kemudahan pembuatannya.
Ini ditambah dengan jualan yang merudum berikutan penurunan mendadak dalam perdagangan global dan permintaan pengguna.
Situasi tersebut menyebabkan Jerasia tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pembayaran baliknya.
"Oleh itu, lembaga pengarah jika permohonan Perintah JM dibenarkan, kemungkinan untuk memulihkan syarikat atau memelihara semua atau sebahagian perniagaan mereka dan kebimbangan dan/atau kepentingan pemiutang syarikat itu akan dapat diselesaikan dengan penstrukturan semula tersebut,” jelasnya.
Setakat 3.14 petang ini, harga saham Jerasia menokok 0.05 sen atau 14.29% kepada 4 sen dengan 3.15 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








