Terbang semula ke India, AirAsia optimis mampu capai kapasiti ke paras sebelum pandemik tidak lama lagi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terbang semula ke India, AirAsia optimis mampu capai kapasiti ke paras sebelum pandemik tidak lama lagi

SEPANG 13 April - AirAsia Malaysia kini menyambung semula penerbangan ke pelbagai destinasi utama di India, termasuk Bengaluru, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappalli.

 

Pengumuman tersebut dibuat semasa sidang akhbar hari ini yang dihadiri ‘Chargé d'Affaires’ Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, Malaysia, C. Sushma, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

 

Menurut Riad Asmat, dengan pembukaan semula sempadan di seluruh rantau ini, AirAsia akan terus menyemak dan menambah destinasi dalam rangkaian yang semakin berkembang untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat.

 

Katanya, ia termasuklah 30 penerbangan mingguan dari Malaysia ke India yang akan dilancarkan menjelang akhir Mei ini.

 

"Tambahan pula, dengan 71 penerbangan mingguan yang akan dikendalikan menjelang akhir 2022, AirAsia Malaysia akan kembali kepada kapasiti sebelum COVID-19 tidak lama lagi, dengan lebih 140 perkhidmatan mingguan ke/dari India," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

india

 

 

Sementara itu, Sushma berkata, pembukaan semula sempadan kedua-dua buah negara membolehkan trafik perjalanan udara antara Malaysia dan India kembali lancar dan berkembang secara progresif. 

 

Kerjasama ini, katanya, merupakan satu langkah penting dalam mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara. 

 

"AirAsia telah menawarkan penerbangan tambang rendah ke India sejak 2008, menghubungkan pengembara dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di India dan hari ini, kami amat mengalu-alukan penyambungan semula penerbangan komersial terus antara India dan Malaysia selepas 2 tahun,” katanya. 

 

Untuk meraikan penyambungan semula 30 penerbangan mingguan ke India ini, AirAsia menawarkan diskaun sebayak 20% kepada para tetamu dan ejen pelancongan ke semua destinasi di India dari Malaysia melalui airasia Super App mulai hari ini hingga 1 Mei 2022.

 

Selain itu, ia juga menawarkan bagasi daftar masuk 20 kilogram percuma untuk setiap tempahan. 

 

Para tetamu dan ejen pelancongan boleh membuat tempahan dengan menekan ikon ‘Flights’ di airasia Super App, untuk tempoh perjalanan antara 1 Mei 2022 dan 25 Mac 2023. - DagangNews.com