Tempoh lanjutan moratorium masih dibincang | DagangNews Skip to main content

Tempoh lanjutan moratorium masih dibincang

Datuk Seri Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 21 Julai - Tempoh lanjutan bagi moratorium masih diberada di peringkat perbincangan bagi pihak bank terus memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perbincangan tersebut turut memberi penekanan kepada aspek kestabilan semasa para peminjam.

"Moratorium ini berlangsung selama enam bulan hingga akhir September 2020. Banyak perniagaan telah beroperasi semula dan kami melihat individu dan perniagaan dapat menjana semula pendapatan untuk membiayai pinjaman mereka.

"Perbincangan sedang berlangsung untuk pendekatan yang lebih disasarkan ke hadapan seperti melanjutkan tempoh pembayaran, penyusun semula pinjaman mereka dan memberikan pengecualian hingga peminjam stabil, katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-PONTIAN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Maslan mengajukan soalan berkaitan tempoh moratorium dilanjutkan atau sebaliknya khususnya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan serta sektor yang banyak terkesan akibat wabak COVID-19 seperti industri pelancongan.

Beberapa pihak termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) turut menyuarakan hasrat agar kerajaan melanjutkan lagi tempoh moratorium bagi memberi kelegaan dalam aspek kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Dalam sektor pelancongan, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) turut menekankan perkara sama  agar kerajaan melanjutkan lagi tempoh moratorium selama enam bulan untuk membantu menghidupkan semula industri pelancongan.

Jelas Zafrul lagi, beliau berharap peminjam dapat membuat pertemuan dengan pihak bank serta Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Hutang (AKPK).

"Saya juga harap peminjam dapat bertemu dengan bank mereka untuk berbincang kesulitan mereka dan juga menghubungi AKPK untuk mendapatkan bantuan.

"Dari segi pakej rangsangan baharu pula, perkara ini bergantung pada kadar pemulihan ekonomi negara," jelasnya lagi. - DagangNews.com