KUALA LUMPUR 5 Sept - Tempahan tertunggak bagi dua jenama popular UMW Holdings Berhad iaitu Toyota dan Perodua mula menyerderhana pada pertengahan tahun ini.
Jumlah tempahan tertunggak bagi Toyota adalah sebanyak 40,000 unit (52,000 unit pada penghujung Mei) manakala Perodua pada paras 155,000 unit (190,000 unit pada penghujung Mei).
RHB Investment berkata, penurunan pesanan tertunggak sebahagian besarnya sudah dijangka dan jumlah itu dirangsang oleh pelancaran kereta baharu pada awal tahun selain kekurangan pemangkin baharu untuk mengekalkan tahap tertunggak pesanan yang begitu tinggi.
"Pengurusan yakin Toyota dan Perodua akan mencapai sasaran jumlah jualan 93,000 unit dan 314,000 unit tahun ini.
"Walaupun 2023 ditetapkan untuk mencatatkan rekod baharu (2023F TIV: 725,000 unit), namun kadar tempahan tertunggak yang melemah memberi bayangan bahawa jualan kenderaan adalah perlahan pada 2024," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, berkata, pada suku kedua, jualan kenderaan adalah lebih perlahan disebabkan tempoh yang lebih pendek dan penutupan berjadual di kilang pengeluaran.
"Walaupun jumlah jualan Perodua hanya susut 16 peratus, sumbangan syarikat bersekutu UMW jatuh 37% suku ke suku kerana Perodua berdepan kos buruh (bonus), harga alat ganti tempatan dan perbelanjaan susut nilai daripada model baharu yang lebih tinggi.
"Sebaliknya, pendapatan Toyota jatuh 6% tetapi kami menganggarkan marginnya telah berkembang," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM5 sesaham. - DagangNews.com








