KUALA LUMPUR 7 Mac - Teleport menyasarkan untuk memperluaskan hubungan serta penglibatan dengan komuniti perniagaan Sarawak melalui program jelajah Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) yang telah bermula di Miri semalam.
Syarikat logistik milik Capital A (dahulunya AirAsia Group Berhad) itu menjangkakan lebih ramai peserta akan hadir di lokasi program jelajah seterusnya iaitu di Bintulu pada 8 Mac dan di Kuching pada 10 Mac.
“Ini berdasarkan maklum balas menggalakkan daripada para pengeksport, pengilang dan penyedia perkhidmatan bandaraya utara Sarawak ini,” ujar syarikat tersebut di dalam kenyataan hari ini.
Dalam program jelajah tersebut, Pengurus Teleport bagi Singapura, Natasia Jerah mewakili syarikat untuk berkongsi maklumat dengan peserta mengenai peranan syarikat sebagai pemain utama dan fasilitator penting untuk perdagangan.

“Peranan tersebut bukan sahaja di antara Sarawak dan Singapura tetapi juga ke seluruh Malaysia, rantau ASEAN dan destinasi lain, dengan memanfaatkan ruang kargo pesawat penumpang AirAsia bagi tujuan penghantaran barangan kargo,” katanya.
Menurut syarikat itu, Teleport merupakan pilihan terbaik untuk perkhidmatan logistik bagi peniaga yang ingin memasarkan keluaran mereka.
Hal ini demikian kerana AirAsia menyediakan lebih 330 penerbangan setiap minggu menghubungkan bandar utama Sarawak dan ke luar wilayah, katanya.
STATOS merupakan program yang dianjurkan bersama Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) yang telah bermula di bandaraya Miri pada 6 Mac, diikuti Bintulu (8 Mac) dan kemuncak program ini akan berlangsung di Hotel Imperial Kuching pada 10 Mac.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, semua peniaga dan individu boleh melayari https://statos.com.sg/event/statos-roadshows-2023/. -DagangNews.com








