MELAKA 31 Jan - Teladan Setia Group Berhad memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Megan Mastika Sdn. Bhd. untuk sebidang tanah seluas 7.54 hektar di Daerah Melaka Tengah.
Perjanjian melalui anak syarikatnya, Asal Harta Sdn. Bhd., adalah cadangan pengambilalihan tanah itu dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM48.5 juta yang dibayar dengan gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.
Pengarah Urusan Teladan Setia, Richard Teo Lay Ban berkata, cadangan tersebut selaras dengan strategi untuk mengimbangi pembangunan bank tanah kumpulan bagi memenuhi persekitaran dan permintaan pasaran yang berbeza.
"Tanah tersebut diperuntukkan untuk pembangunan pusat kesihatan dan kesejahteraan serta kediaman pangsapuri perkhidmatan memandangkan ia terletak di tengah Bandar Melaka, berdekatan dengan lokasi popular tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Melaka direkodkan sebagai salah satu hartanah kediaman yang tidak terjual paling rendah di Malaysia dan melihat potensi besar pembangunan di negeri ini, Teladan Setia aktif mengumpul simpanan tanah sejak dua tahun lepas.
Penambahan baharu ini akan meningkatkan bank tanah kumpulan itu di Melaka kepada 1,106.9 hektar daripada 858 hektar dan meningkatkan aktiviti pembangunan hartanahnya dalam menjana pendapatan mampan jangka panjang.
Richard yakin, kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada permintaan untuk hartanah kediaman kesan pemulihan aktiviti ekonomi dan industri pelancongan.
“Di samping itu, kami juga meneruskan strategi mengumpul lot strategik yang berpotensi membawa nilai ekonomi dan pendapatan masa hadapan yang positif kepada kumpulan kami.
“Permintaan untuk pembangunan hartanah mungkin berkurangan akibat tekanan inflasi dan kitaran kenaikan kadar faedah.
"Kami optimis inventori bank tanah yang mencukupi dan pelancaran hartanah yang berstrategi akan membolehkan pencapaian jualan yang membanggakan sambil kami mengharungi peluang mendatang,” katanya.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka siap pada suku keempat tahun ini, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa Melaka dan tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka. - DagangNews.com








