Tekanan opex bebankan Velesto, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang' dengan TP 14 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan opex bebankan Velesto, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang' dengan TP 14 sen

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Velesto Energy Bhd. dilihat sukar untuk kembali mencatat keuntungan pada suku keempat ini ekoran berdepan tekanan kos perbelanjaan operasi (opex) yang tidak menentu. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Raymond Yap berkata, pematuhan yang ketat kepada prosedur standard operasi (SOP) COVID-19 akan terus membebankan kewangan Velesto. 

 

"Kami jangkakan tekanan kos yang tinggi ini dan juga inflasi upah akan berterusan sehingga tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23," katanya. 

 

Velesto dalam taklimat kepada penganalisis baru-baru ini menjelaskan tempoh penyediaan pelantar kini mengambil masa yang lama disebabkan oleh SOP COVID-19 yang mewajibkan kuarantin darat untuk anak kapal sebelum menaiki pelantar.

 

Sekiranya ahli krew didapati positif COVID-19, kru pengganti perlu dicari, yang boleh melambatkan lagi proses permulaan kerja.

 

Sebarang kelewatan kerja akan membabitkan kos yang tinggi kerana bayaran gaji pekerja terkumpul. 

 

Selain itu, kekurangan pekerja juga menyebabkan mereka yang berada di pelantar perlu melanjutkan lagi tempoh bekerja dan perlu dibayar.

 

Disebabkan ketidakupayaan melatih pekerja asing, pengurus pelantar lain di Malaysia perlu mengambil pekerja Velesto, yang menyaksikan syarikat terpaksa menaikkan upah bagi menggantikan mereka yang pergi.

 

Melihat kepada situasi yang dialami Velesto, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' bagi sahamnya dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 14 sen. 

 

Namun, menurut Yap, Velesto dijangka mampu mencapai kadar penggunaan pelantar pada 70% bagi FY22. 

 

Jelasnya, pada tahun hadapan, Naga 2 mungkin akan digunakan selama 163 atau 223 hari jika kedua-dua pilihan dilaksanakan, manakala Naga 4 mempunyai kerja-kerja penggerudian bagi tempoh 276 hari dan Naga 8 beroperasi selama 365 hari. 

 

"Selain itu, Velesto pula sedang membida Naga 3 bagi kerja-kerja penggerudian di Vietnam, dan percaya akan memperoleh kerja-kerja untuk Naga 5 dan Naga 6 pada separuh kedua 2022.

 

"Dengan menganggarkan pelantara Naga 3, Naga 5 dan Naga 6 memperoleh kerja-kerja selama 183 hari pada FY22 dan pilihan Naga 2 dilaksanakan, kadar penggunaan Velesto bagi FY22 boleh mencapai 67%. 

 

"Oleh itu, ia memberi keyakinan kepada kami ia boleh mencapai anggaran 70% pada tahun hadapan," katanya. 

 

Bagaimanapun, Yap berkata, Velesto masih berdepan dengan risiko penurunan terutama pembetulan harga minyak disebabkan varian Omicron boleh menjejaskan perbelanjaan modal (capex) syarikat minyak negara bagi menjalankan aktiviti penggerudian. 

 

Setakat 9.27 pagi ini, saham Velesto diniagakan tidak berubah pada 12.5 sen. - DagangNews.com