Tekanan inflasi dijangka tidak jejas perniagaan Focus Point, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi dijangka tidak jejas perniagaan Focus Point, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - RHB Investment menjangkakan perniagaan Focus point Holdings Bhd tidak akan terjejas walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan inflasi.

 

Katanya, pengurusan melihat pertumbuhan positif untuk perniagaan optiknya (81% daripada jualan FY23) setakat ni pada FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu didorong oleh permintaan positif untuk produk cermin mata kesan peningkatan populasi rabun.

 

"Strategi kumpulan itu menyasarkan kumpulan pengguna berpendapatan tinggi dengan mereka membentuk hampir 80% daripada jumlah keseluruhan pelanggannya.

 

"Kami mendapati bahawa cawangan yang dipacu pelancong seperti KLCC dan Pavilion mencatatkan perkembangan memberangsangkan manakala pembukaan cawangan Focus Point Signature di The Exchange TRX pada November 2023 adalah tepat pada masanya bagi memanfaatkan kehadiran semula pelancong.

 

"Pengurusan juga berkongsi bahawa Johor (negeri kedua terbesar mengikut cawangan) terus merekodkan daya tarikan jualan yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu mencatatkan pemulihan dalam segmen makanan dan minuman (F&B) (16% daripada jualan FY23) selepas berjaya menyelesaikan isu lebihan tenaga kerja di dapur pusatnya.

 

Mereka menjangkakan keuntungan berterusan pada masa hadapan dengan mengambl kira jumlah pelanggan korporat sedia ada dan cawangan Komugi.

 

"Kumpulan itu menyasarkan untuk menambah sekurang-kurangnya dua lagi cawangan Komugi pada FY24.

 

"Penambahan itu, bersama-sama dengan peningkatan jumlah oleh pelanggan korporat yang lebih baharu, termasuk ZUS Coffee dan Cotti Coffee seharusnya memacu hasil perniagaan F&B," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.02 sesaham. - DagangNews.com