Taraf saranan Top Glove diturunkan kepada Jual dengan TP 82 sen sesaham- MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taraf saranan Top Glove diturunkan kepada Jual dengan TP 82 sen sesaham- MIDF Research

Gambar Top Glove
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Jun - MIDF Research menurunkan taraf saranan pengeluar sarung Top Glove Corp Berhad itu daripada Neutral kepada Jual dengan harga sasaran baharu 82 sen sesaham berbanding 87 sen sebelum ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun pengeluar sarung tangan getah itu mencatatkan peningkatan juala berikutan penambahan stok oleh pelanggan namun pihaknya tetap berhati-hati tentang kelewatan penghantaran yang berterusan.

 

Katanya, ini mungkin berterusan sehingga suku keempat tahun 2024 (4QFY24) disebabkan oleh kesesakan pelabuhan yang berpanjangan.

 

"Kami percaya persaingan sengit daripada pembuat sarung tangan Cina sedia ada dan peserta baharu dari era pandemik boleh menyebabkan agihan pesanan yang sama rata dalam kalangan pemain sedia ada dengan harga jualan purata (ASP) yang kompetitif.

 

"Kami percaya terdapat kemungkinan kelewatan dalam memindahkan kos kepada pelanggan di sebalik kuasa tawar-menawar pembekal yang lebih baik, kerana pelarasan ASP kini mengikut arah aliran harga bahan mentah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Top Glove kembali catat keuntungan pada 3Q berikutan permintaan lebih kukuh sarung tangan 

 

Sementara itu, MIDF Research mengurangkan ramalan teras keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak dikawal (PATANCI) untuk FY24, FY25 dan FY26 Top Glove masing-masing sebanyak -156.4%, -16.7% dan -8.2% susulan kekurangan pendapatan berbanding yang diunjurkan.

 

"Ini mencerminkan volum jualan dan ASP yang lebih rendah (di tengah-tengah persaingan sengit yang berterusan dan kelewatan penghantaran), serta kos tarif bahan mentah dan gas asli yang lebih tinggi," jelasnya.

 

top

 

Menurut MIDF Research, pendapatan 9MFY24 Top Glove turun sebanyak -6% YoY kepada RM1.68 bilion, walaupun jumlah jualan stabil disebabkan oleh campuran produk sarung tangan yang berbeza. 

 

"Pendapatan teras mencatat kerugian bersih sebanyak -RM182.3 juta dalam 9MFY24, namun ini merupakan satu peningkatan yang baik daripada kerugian bersih teras sebanyak -RM414 juta dalam 9MFY23. 

 

"Peningkatan ini sebahagian besar disokong oleh peningkatan jumlah jualan, kadar penggunaan kilang yang lebih baik, kos pengeluaran yang lebih rendah dan sedikit peningkatan kuasa rundingan untuk ASP melalui penyerapan harga bahan mentah," ujarnya.

 

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia semalam, Top Glove mencatat keuntungan pada suku kewangan ketiga berakhir 3QFY2024 selepas rugi bagi tujuh suku terakhir berturut-turut, terutamanya didorong oleh permintaan sarung tangan yang lebih kukuh apabila pelanggan menambah semula inventori sarung tangan mereka.

 

Top Glove mencatatkan keuntungan bersih RM50.67 juta berbanding kerugian bersih RM130.59 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.- DagangNews.com