KUALA LUMPUR 1 Sept. - Lembaga Tabung Haji dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan menjadikan TH Plantations Bhd. sebagai syarikat persendirian di tengah-tengah kenaikan harga minyak sawit mentah.
Menurut sumber yang mengetahui perkara berkenaan, dana haji itu telah meminta bank-bank untuk mengemukakan kertas cadangan bagi potensi urus niaga tersebut dengan pemilik syarikat ladang sawit dan getah.
Saham TH Plantations telah meningkat 4% setakat ini, menjadikan nilai pasarannya kira-kira RM526 juga.
Tabung Haji memiliki 73.8% pegangan dalam syarikat perladangan ini.
"Perbincangan masih di peringkat awal dan Tabung Haji belum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pelan ini atau tidak," ujar sumber itu lagi seperti dilapor Bloomberg yang dipetik dari portal TheEdge hari ini.
Bagaimanapun, Tabung Haji dan TH Plantations tidak memberi maklum balas mengenai perkara ini.
Kemungkinan langkah penswastaan firma ini yang beribu pejabat di Kuala Lumpur timbul selepas harga minyak sawit mencapai paras tertinggi pada Mei lalu, mencetuskan aktiviti urus niaga dalam kalangan syarikat perladangan di Malaysia.
Sime Darby Plantation Bhd. dan FGV Holdings Bhd. dalam kenyataan prestasi kewangan mereka menjangkakan harga minyak sawit mentah kekal tinggi disebabkan pengeluaran minyak sawit dan minyak lain yang rendah.
Malah, penganalisis berpendapat, cabaran untuk memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti kelestarian dan hak asasi buruh turut menyumbang kepada pengukuhan sektor ini.
Tabung Haji ditubuhkan pada 1963 untuk menawarkan perkhidmatan kewangan patuh syariah bagi pendeposit yang merancang mengerjakan ibadah haji di Mekah.
Berdasarkan laman webnya, dana milik kerajaan ini yang juga menawarkan bantuan logistik kepada jemaah haji, memiliki 9 juta pendeposit dan 123 cawangan.
Kerajaan pada Julai lalu mengumumkan pelan untuk menambahbaik pengurusan dan operasi dana ini termasuk langkah menyenaraikannya sebagai institusi kewangan Islam ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. - DagangNews.com








