TA Securities unjur pendapatan Coastal Contracts berkembang pada FY23 didorong kontrak membaiki kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities unjur pendapatan Coastal Contracts berkembang pada FY23 didorong kontrak membaiki kapal

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - TA Securities mengunjurkan pendapatan Coastal Contracts Bhd berkembang sebanyak 34% pada tahun ini berikutan kontrak membaiki kapal untuk operasi dan penyelenggaraan (O&M) selama 10 tahun di loji Papan di Mexico.

 

Firma tersebut berkata, ia meningkatkan penggunaan OSV sebanyak 15% pada tahun ini dengan mengambil kira anggaran prestasi kewangan syarikat dalam separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23).

 

Manakala margin pembaikan kapal berkembang dengan mengambil kira bayaran pampasan daripada pembekal dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).

 

Dalam nota hari ini, TA Securities berkata, kumpulan itu mencatat keuntungan teras pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23) melebihi jangkaan dan konsensus firma itu sebanyak 73 hingga 77% daripada ramalan tahun penuh.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sebahagian besar varians itu disebabkan pemulihan yang tidak dijangka dalam segmen pembinaan dan pembaikan kapal terutamanya bayaran pampasan oleh pembekal bagi kontrak pembaikan kapal kerana ketidakakuran bahagian dan peralatan kapal.

 

Hal tersebut turut mennyumbang sebahagian besar keuntungan suku ke suku (QoQ) sebanyak 9%, katanya, sambil menambah pemulihan segmen penyewaan kapal juga menyumbang sedikit kepada pertumbuhan tersebut.

 

“Ini adalah berikutan peningkatan penggunaan OSV dan kadar sewa yang lebih tinggi untuk kapal Teras Conquest. 

 

Perkara tersebut diimbangi penyusutan keuntungan syarikat usaha sama, Nuvoil Group yang memilik syarikat Coastoil Dynamic S.A.De C.V. (CDSA) disebabkan pengiktirafan keuntungan yang lebih rendah daripada kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kilang Papan milik CDSA,” tambahnya.

 

Menurut firma itu, pemindahan 50% kepentingan Nuvoil dalam CDSA yang memiliki projek Papan dan Perdiz di Mexico ditangguhkan kepada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) yang seharusnya dilakukan sebelum 2QFY23. 

 

Setelah selesai pemindahan, keuntungan usaha sama terakru akan dipindahkan kembali ke Nuvoil.

 

Buku pesanan tertunggak sebanyak RM5.1 bilion memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang, di mana 70% daripadanya adalah pendapatan tahunan berulang kontrak 10 tahun O&M untuk loji gas Papan.

 

Selain itu, Coastal juga optimis untuk mendapatkan lanjutan kontrak berjumlah sehingga RM702 juta untuk kapal dan unit mampatan gas jack-up.

 

Oleh itu, TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.10 berbanding RM3.06 sebelum ini. -DagangNews.com