KUALA LUMPUR 24 Okt - TA Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan yang sederhana untuk Apex Equity Holdings Berhad pada FY23 disokong oleh pasaran sekuriti yang lebih stabil.
Katanya, mereka percaya bahawa usaha berterusan Bursa Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem dagangan, meningkatkan daya hidup pasaran dan menarik penyertaan asing yang lebih besar akan menyumbang kepada peningkatan dalam aktiviti dagangan dan jumlah pasaran.
Pengurangan kadar duti setem baru-baru ini bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia, telah diturunkan daripada 0.15% kepada 0.1% daripada nilai kontrak (dengan had maksimum RM1,000 setiap kontrak) dan berkuat kuasa pada Julai 2023, adalah dilihat sebagai satu tindakan yang positif.
"Ia dijangka merangsang pasaran dan menjadikannya lebih menarik kepada pelabur.
"Selain itu, pengesahan Bursa bahawa pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas yuran pembrokeran akan berterusan untuk dagangan saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan satu lagi faktor yang menggalakkan untuk aktiviti dagangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Katanya, pengecualian itu akan terus menyokong dagangan yang sebelum ini bergelut dengan keyakinan pelabur dan volum dagangan yang berkurangan.
Mereka mengekalkan unjuran bahawa dagangan dalam Pasaran Sekuriti kekal stabil pada 28% dari FY23 hingga FY25.
Firma penyelidikan itu meramalkan prospek pendapatan yang menggalakkan dengan kebangkitan semula operasi pinjaman wang pada suku ketiga tahun ini.
Katanya, segmen itu telah menyumbang secara sihat kepada prestasi kewangan syarikat, menjana pendapatan RM3.4 juta dan untung sebelum cukai sebanyak RM1.9 juta pada separuh pertama tahun ini.
"Kami menjangkakan peluang pertumbuhan yang besar dalam perniagaan pinjaman disebabkan oleh peningkatan permintaan dan persekitaran kadar faedah yang meningkat.
"Walaupun kumpulan pada masa ini bergantung pada kekuatan kewangannya sebagai sumber pembiayaan, kami juga menjangkakan potensi pengembangan dalam pinjaman Apex Equity bagi memenuhi permintaan kredit yang semakin meningkat," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.19 sesaham.- DagangNews.com







