KUALA LUMPUR 26 Jun - TA Research menyemak turun unjuran pendapatan FY24-FY25 Beshom Holdings Berhad sebanyak 15% dan 19.6% kesan daripada prospek kumpulan yanng mencabar.
Firma itu berkata, meskipun menunjukkan peningkatan prestasi namun bahagian pemasaran pelbagai peringkat (MLM) kumpulan itu dipercayai berdepan pelbagai cabaran kesan daripada peningkatan inflasi dan kelemahan sentimen pengguna.
Firma itu juga menjangkakan jualan bahagian itu akan mendatar atau lebih rendah dari suku tahun ke suku tahun kesan daripada ketiadaan promosi Hari Raya.
"Kami mengunjurkan jualan borong akan mencatatkan rekod jualan pada suku akan datang selepas mereka melakukan penjenamaan semula dan pengenalan produk baharu.
"Jualan bagi segmen runcit dilihat kembali normal selepas musim perayaan Tahun Baharu Cina dan kami mengunjurkan jualan akan mendatar selain berdepan tekanan margin daripada kos operasi yang tinggi (kos tenaga kerja dan elektrik)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM14.6 juta pada FY23.
Ia disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan manakala kadar cukai berkesan pada 4QFY23 ialah 49.2% (4QFY22: 34.7%), jauh lebih tinggi daripada kadar cukai berkanun terutamanya disebabkan perbelanjaan, yang tidak boleh ditolak untuk tujuan cukai.
Hasil kumpulan bagi FY23 menyusut sebanyak 16.9% kesan daripada prestasi kurang memberangsangkan daripada bahagian MLM kesan daripada kelemahan sentimen pengguna.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 96 sen sesaham. - DagangNews.com








