TA Research kekal berhati-hati terhadap prospek Amway kesan pengurangan pembayaran insentif ABO | DagangNews Skip to main content

TA Research kekal berhati-hati terhadap prospek Amway kesan pengurangan pembayaran insentif ABO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - TA Research kekal berhati-hati terhadap prospek Amway (Malaysia) Holdings Berhad terutama selepas kumpulan itu mengurangkan pembayaran insentif Pemilik Perniagaan Amway (ABO).

 

Katanya, tenaga jualan kumpulan itu juga dilihat semakin lemah dan momentum jualan yang semakin berkurangan.

 

Firma penyelidikan itu juga percaya bahawa ruang pemasaran pelbagai peringkat (MLM) semakin tepu kesan persaingan yang semakin meningkat daripada platform perniagaan lain yang menyediakan penawaran produk serupa pada harga yang lebih murah.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan itu akan memberi fokus kepada penambahbaikan program ABO termasuk pengiklanan lebih tinggi dan campuran promosi bagi merangsang permintaan yang lebih tinggi.

 

"Selain itu, kumpulan juga akan menyuntik momentum trajektori baharu kepada tenaga jualan dengan usaha pendigitalan yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 meningkat kepada RM46.21 juta daripada RM18.75 juta yang dicatatkan suku yang sama tahun kewangan 2022.

 

Bagaimanapun, perolehan bagi suku yang dinilai susut kepada RM333.47 juta daripada RM371.79 juta bagi tempoh yang sama.

 

Perolehan syarikat bagi suku itu turun sebanyak 10.3% disebabkan permintaan lembap dalam produk kesihatan dan kesejahteraan serta peralatan rumah.

 

Bagi tempoh sembilan bulan 2023, keuntungan bersih meningkat kepada RM83.52 juta daripada RM53.9 juta yang dicatatkan dalam masa sembilan bulan 2022 manakala perolehan susut kepada RM1.05 bilion daripada RM1.12 bilion.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM5.80 sesaham.- DagangNews.com