Syarikat penerbangan dijangka kembali untung selepas catat peningkatan penumpang - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Syarikat penerbangan dijangka kembali untung selepas catat peningkatan penumpang - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Syarikat penerbangan dijangka kembali mencatatkan keuntungan berdasarkan peningkatan stabil dari segi campuran penumpang antarabangsa dan domestik.

 

MIDF Research berkata, peningkatan itu akan terus disokong harga bahan api jet yang stabil dengan kapasiti penapisan semakin pulih, jangkaan ringgit lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan tambang penerbangan dengan harga yang rasional.

 

Katanya, lebih banyak laluan akan dibuka semula dan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang apabila syarikat penerbangan kembali beroperasi pada kapasiti panuh.

 

"Sementara itu, trafik dari pasaran Indonesia yang menyumbang 20% daripada jumlah trafik pada 2019 sepatutnya bertambah baik di belakang kemasukan TransNusa Airlines ke pasaran Malaysia bermula dari April 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Malaysia secara kolektif merekodkan pergerakan penumpang sebanyak 5.8 juta pada Februari lalu.

 

Ini diterjemahkan kepada pemulihan sebanyak 71% (domestik: 80%, antarabangsa: 62%). Lebih 112,000 purata penumpang harian melakukan perjalanan dalam negara, tahap yang sama dengan bulan sebelumnya, didorong oleh cuti sekolah akhir tahun yang bermula pada 17 Februari.

 

Sementara itu, segmen antarabangsa menyaksikan purata penumpang hariannya meningkat sebanyak 4% dari bulan ke bulan.

 

Firma itu berkata, sektor China yang menyumbang kira-kira 10% daripada jumlah trafik pada 2019 masih dalam peringkat awal pemulihan seiring dengan pengembalian semula kapasiti secara beransur-ansur oleh syarikat penerbangan.

 

Katanya, pergerakan penumpang untuk sektor ini meningkat sebanyak 61% dari bulan ke bulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan mengekalkan unjuran trafik penumpang kerana percaya ia berada di landasan tepat untuk memenuhi sasaran tahun penuh," katanya. - DagangNews.com