Syarikat GLC Sabah perlu bayar dividen 10% kepada kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat GLC Sabah perlu bayar dividen 10% kepada kerajaan

KOTA KINABALU 30 Nov - Kerajaan Negeri Sabah telah menetapkan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membayar sekurang-kurangnya 10% daripada keuntungan syarikat kepada kerajaan negeri sebagai dividen.

 

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bagi memastikan pembayaran dividen daripada setiap GLC dilaksanakan, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan pekeliling berkaitan Pembayaran Dividen dan Kod Tadbir Urus Korporat untuk Badan Berkanun.

 

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap GLC yang mengalami kerugian.

 

 

 Datuk Seri Masidi Manjun
Datuk Seri Masidi Manjun

 

 

“Justeru, saya menyarankan agar setiap GLC mengambil inisiatif untuk meningkatkan prestasi kewangan syarikat bagi memberi pulangan kepada kerajaan negeri," ujar beliau.

 

Di samping itu, beliau berkata Sabah kini sedang melaksanakan Pelan Penambahbaikan Tadbir Urus dan Pentadbiran untuk agensi awam negeri.

 

Masidi berkata pelaksanaan itu termasuk membawa masuk 16 pakar juruaudit untuk menjalankan audit dan semakan terhadap syarikat yang bermasalah.

 

“Pemeriksaan menyeluruh terhadap penyata kewangan akan membantu agensi awam negeri mengenal pasti risiko dan menentukan sama ada untuk mengekalkan atau memulihkan perniagaan dan aktiviti yang dijalankan,” katanya semasa ucapan penggulungan Bajet 2024 negeri pada persidangan DUN di sini.

 

Beliau berkata terdapat juga inisiatif dalam menilai kelayakan lembaga pengarah, pelaksanaan sistem kad skor, pelaksanaan Sistem Merit Demerit, penubuhan jawatankuasa pengurusan pelaburan dan pinjaman serta bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  - DagangNews.com