Swift Haulage berpotensi raih manfaat daripada kestabilan, momentum pertumbuhan perdagangan luar Malaysia mulai suku keempat 2023 – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Swift Haulage berpotensi raih manfaat daripada kestabilan, momentum pertumbuhan perdagangan luar Malaysia mulai suku keempat 2023 – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Nov - Swift Haulage Berhad berpotensi mendapat manfaat pertumbuhan perdagangan luar Malaysia yang dijangka stabil dan memperoleh semula momentum mulai suku keempat tahun ini, menurut MIDF Research.

 

Berdasarkan unjuran makroekonomi tersebut, firma penyelidikan itu menjangkakan eksport dan import kembali kepada pertumbuhan, terutamanya berikutan pemulihan lebih baik di China dan sentimen positif terhadap penstabilan dasar monetari dalam ekonomi utama.

 

“Ini seharusnya memberi manfaat kepada penggiat logistik, termasuk Swift Haulage, memandangkan kedudukannya kukuh dalam pasaran pengangkutan kontena dan armada yang diperluas, membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang jualan silang dalam perniagaan pengangkutan darat.

 

“Gudang baharu (Tebrau dan Zon Bebas Pelabuhan Klang [PKFZ]) boleh menyaksikan kenaikan kadar penghunian, yang berpotensi membawa kepada peningkatan dalam margin keuntungan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research mengulas prospek Swift Haulage sedemikian susulan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, firma itu berkata PATAMI RM2.1 juta  pada 3QFY23, yang secara kumulatif bagi tempoh sembilan bulan pertama FY23 mencatatkan RM18.3 juta merangkumi hanya 42% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus, terutamanya disebabkan margin keuntungan lebih rendah daripada jangkaan.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Swift Haulage meningkat kepada RM28.4 juta pada 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen pergudangan

 

 

Bagaimanapun, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan Swift Haulage namun menjangkakan ia disemak turun selepas mendapat penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan ketika taklimat hari ini.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 65 sen (pendapatan sesaham (EPS) FY24 sebanyak 11 kali),” katanya.

 

Menurut firma itu, risiko kelemahan utama ialah: (i) daya tampung kontena gerbang lebih lemah daripada jangkaan dan (ii) kadar pengambilan lebih rendah daripada jangkaan untuk gudang baharu.

 

Pada pukul 9:35 pagi ini, saham Swift Haulage menokok 3.5 sen atau 6.4% kepada 58.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM520.6 juta. - DagangNews.com