Suruhanjaya Sekuriti akan terbitkan rangka kerja SRI menjelang akhir 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti akan terbitkan rangka kerja SRI menjelang akhir 2022

KUALA LUMPUR 22 Jun - Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menerbitkan rangka kerja Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) menjelang akhir tahun ini.

 

Rangka kerja itu akan bertindak sebagai prinsip panduan untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan aktiviti ekonomi yang menyokong objektif alam sekitar, sosial dan kemampanan.

 

 

awang adek
Awang Adek Hussin

 

 

Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, suruhanjaya itu sedang memuktamadkan Taksonomi SRI berikutan kertas perundingan awam yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas.

 

“Kami akan meneruskan agenda SRI untuk fasa pembangunan pasaran seterusnya. Ini jelas dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) kami. 

 

"SRI, beserta pasaran modal Islam (ICM)  akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan kepada ekonomi pemegang kepentingan yang mampan dan inklusif," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau berkata demikian semasa Persidangan Maya SRI 2022 bertajuk ‘Preserving the Climate through Sustainable Business and Living’.

 

Hala tuju pelaburan mampan Malaysia bermula seawal 2014 apabila Rangka Kerja Sukuk SRI SC diperkenalkan, yang membolehkan dana dikumpul untuk membiayai pelbagai projek hijau, bermanfaat dari segi sosial dan mampan.

 

Sehingga kini, sejumlah RM8.3 bilion Sukuk SRI telah dikeluarkan di bawah rangka kerja ini.

 

Di samping itu, garis panduan mengenai Dana SRI telah dilancarkan pada 2017 untuk memudahkan pertumbuhan dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia.

 

Sehingga 2021, 34 dana SRI telah dilancarkan, menawarkan peluang kepada pelabur borong dan runcit untuk melabur dalam dana-dana yang fokus pada ESG konvensional dan patuh syariah.

 

Menurut Awang Adek, SC berhasrat mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatan untuk kewangan sosial Islam dan pelaburan berimpak, selaras dengan prinsip SRI.

 

Katanya, SC juga akan membangunkan rangka kerja untuk instrumen berasaskan pasaran bagi membolehkan kewangan peralihan di Malaysia. 

 

"Ini akan meningkatkan pilihan pembiayaan untuk syarikat pada pelbagai peringkat perjalanan kemampanan mereka," tambahnya.

 

Beliau berkata, perniagaan hari ini berhadapan jangkaan yang semakin meningkat daripada pihak berkepentingan dan komuniti yang mereka memberikan perkhidmatan dan sedang dinilai mengenai komitmen kemampanan dan pengendalian isu sosial.

 

“Penyelidikan terkini oleh  PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati 94% daripada 50 syarikat senaraian awam (PLC) teratas Malaysia mempunyai strategi ESG," katanya.

 

Beliau menambah, amalan perniagaan yang mampan dan inklusif bukan sahaja memberi manfaat kepada pemegang saham tetapi semua pihak berkepentingan, justeru, lembaga pengarah dan pengurusan mesti mengetuai dan memastikan kemampanan adalah teras strategi dan operasi perniagaan. - DagangNews.com