Suria Capital tingkat kapasiti pengendalian kepada 1.25 juta TEU menjelang 2025 di Pelabuhan Teluk Sapangar | DagangNews Skip to main content

Suria Capital tingkat kapasiti pengendalian kepada 1.25 juta TEU menjelang 2025 di Pelabuhan Teluk Sapangar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pengendali pelabuhan Sabah, Suria Capital Holding Berhad sedang dalam proses mengembangkan operasi Pelabuhan Teluk Sapangar sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti pengendalian daripada 500,000 TEU (bersamaan 20 kaki unit) kepada 1.25 juta TEU. 

 

AmInvestment Research berkata, bagi pelaksanaan projek itu, WCT Holdings Berhad dilantik sebagai kontraktor utama menerusi jalinan kerjasama bersama China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. pada Julai 2021.

 

"Projek pengembangan pelabuhan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

 

"Pada masa sama, Suria Capital juga turut mengembangkan Terminal Minyak Teluk Sapangar sebagai usaha untuk menampung kehadiran kapal tangki yang lebih besar untuk membekalkan minyak dan air mentah dan ia dijangka siap pada penghujung tahun ini.

 

Suria Capital merupakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sejak 1996 dan operasi perniagaan di Pelabuhan Sabah bermula selepas proses penswastaan pada 2004 daripada LEmbaga Pelabuhan Sabah. 

 

Buat masa sekarang, kumpulan itu mengendalikan lapan pelabuhan di Sabah dengan Pelabuhan Teluk Sapangar merupakan yang utama dan pada masa sama memiliki lebih 1,099 pekerja tempatan bagi menyokong operasi mereka.

 

kapal

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Sabah untuk menyemak semula tarif yaang bekaitan dengan pelabuhan itu sejak pertengahan 2019 berdasarkan kepada perjanjian penswastaan.

 

Menerusi perjanjian itu, Suria Capiral dibenarkan untuk semakan semula selepas lima tahun tempoh konsesi.

 

"Pendapatan kumpulan itu pada FY2021 meningkat sebanyak 10% kepada RM245 juta kesan daripada pertambahan TEU (+11% dari tahun ke tahun) dan perkhidmatan pembinaan yang lebih tinggi untuk konsesi infrastruktur.

 

"Pada masa sama ia disokong peningkatan margin keuntungan operasi sebanyak 21%," katanya. - DagangNews.com