RHB Investment ramal Sunway Construction raih manfaat pelaksanaan projek ART Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment ramal Sunway Construction raih manfaat pelaksanaan projek ART Johor Bahru

BRT Laluan Sunway sejauh 5.4 km yang dibangunkan Sunway Construction. - Gambar Sunway
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mei - Sunway Construction berpotensi menjadi penerima manfaat daripada pelaksanaan projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di bandar raya Johor Bahru yang melibatkan kos kira-kira RM7 bilion, kata RHB Investment Bank.

 

Menurut firma penyelidikan itu, jangkaan ini berdasarkan penglibatan Sunway Construction dalam Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway sejauh 5.4 kilometer (km) yang juga projek BRT pertama di Malaysia pada 2018, untuk nilai kontrak RM452 juta di bawah program perkongsian awam-swasta antara Prasarana Malaysia dan Sunway.

 

"Satu lagi penerima yang berpotensi ialah HSS Engineers kerana kumpulan itu memperoleh kontrak RM71 juta daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar untuk menyediakan perkhidmatan penyeliaan reka bentuk & pembinaan terperinci untuk BRT Bas pertama di Johor, iaitu IRT.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, walaupun ART di Johor Bahru membawa kepada nilai kontrak yang lebih kecil berbanding transit aliran ringan (LRT) yang menelan kos lebih RM16 bilion, namun kontraktor masih boleh mendapat manfaat yang baik dari projek ini. 

 

"Berbanding dengan IRT, kami percaya sistem ART Johor mungkin mempunyai bahagian bertingkat seperti yang disebutkan sebelum ini, yang menjelaskan kenapa kos yang lebih tinggi untuk ART Johor berbanding dengan kos keseluruhan RM3.1 bilion untuk IRT. 

 

"Dengan kemungkinan banyak bahagian bertingkat di bawah ART Johor, peluang mungkin timbul bagi kontraktor dengan rekod yang baik untuk membina atau menyediakan komponen berkaitan dengan viaduct," jelasnya.

 

Kata RHB Investment, ART Johor akan mempunyai jangka masa pembinaan yang lebih pendek berbanding dengan pembinaan LRT sekali gus membolehkan perkhidmatan ART beroperasi sama dengan permulaan RTS Johor Bahru Link pada tahun 2027.

 

"Kami membayangkan pelan-pelan tersebut sebagai strategik untuk memastikan kesepaduan yang lancar di Johor antara pelbagai jenis pengangkutan, iaitu ART Johor dan RTS JB. 

 

"Satu kajian sedang dijalankan (dijangkakan akan siap pada Ogos), yang akan diikuti dengan satu pembentangan kepada Kabinet. Dalam pandangan kami, adalah sangat mungkin bahawa Kabinet memberikan lampu hijau, kerana ART Johor adalah lebih berkesan dari segi kos dan masa berbanding dengan LRT JB," ujar firma itu yang mengekalkan saranan Overweight kepada sektor pembinaan.

 

Kerajaan Johor memilih penggunaan sistem pengangkutan ART di Johor Bahru disebabkan pelbagai faktor termasuk kos kerana LRT dua kali lebih tinggi berbanding kos keseluruhan penyediaan infrastruktur ART.

 

"Antara asas pertimbangan yang ditekankan kerajaan dalam memilih pilihan adalah sistem pengangkutan yang akan dibangunkan itu perlulah dapat disiapkan pada akhir Disember 2026," kata  Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh semalam. - DagangNews.com