KUALA LUMPUR 31 Julai - Supercomnet Technologies Bhd (Scomnet) telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan saham dan waran daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
"Bagi pihak lembaga pengarah, UOBKH ingin mengumumkan bahawa SC telah meluluskan Cadangan Pemindahan di bawah Seksyen 214(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta keperluan ekuiti Bumiputera untuk syarikat senaraian awam," kata syarikat pengeluar alat perubatan, kabel, dan tangki bahan bakar itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas perkata tersebut, Pengarah Eksekutif Scomnet, Hsueh Chih-Yu berkata perpindahan ke Pasaran Utama telah menjadi perkara penting yang dinantikan oleh kumpulan itu memandangkan pemindahan tersebut membolehkan kumpulan meraih lebih banyak pelabur, termasuk mereka yang hanya dibenarkan melabur dalam syarikat tersenarai di Pasaran Utama.
"Kami bersyukur atas kelulusan ini dan berharap untuk menarik pelabur institusi dan ekuiti swasta yang lebih besar untuk berkembang bersama-sama.
“Scomnet masih berada dalam fasa pertumbuhan. Walaupun kami tetap memberi tumpuan pada pertumbuhan perniagaan perubatan dan automotif yang sedia ada, pada masa yang sama, kami sentiasa meninjau peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang berpotensi meningkatkan pendapatan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Berkongsi mengenai prestasi kewangan kumpulan, Pengarah Eksekutif Scomnet, Lim Eng Chuan menyatakan bahawa mereka mencapai kedudukan yang melebihi keperluan SC untuk berpindah ke Pasaran Utama.
“Dari segi kewangan, kumpulan berada pada kedudukan yang kukuh, dengan aset berkecairan tinggi bernilai RM171.06 juta pada 31 Mac 2023. Ketika kami memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, kekuatan kewangan kami akan memberi manfaat yang besar,” katanya.
Aktiviti utama Scomnet adalah pengilangan dan pemasangan alat perubatan dan kabel, tangki bahan bakar automotif, serta wayar dan kabel untuk peralatan elektrik, elektronik pengguna, dan pasaran automotif.
Dalam segmen perubatan, yang menyumbang sebahagian besar keuntungan kasar Scomnet pada masa ini, pelanggan kumpulan termasuk syarikat multinasional yang terkenal dari Amerika Syarikat dan Eropah, serta pengilang alat perubatan baharu dan berkembang.
Pada tahun kewangan 2022 (FY22), Scomnet telah mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM32.9 juta, melonjak 30.5%, dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi dari semua segmen dan peningkatan jualan produk dengan margin keuntungan tinggi, terutamanya dalam segmen perubatan.
Saham Scomnet ditutup tidak berubah pada RM1.34 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1 bilion. - DagangNews.com








