Sunway dijangka rekod prestasi lebih baik Q4, HLIB saran 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway dijangka rekod prestasi lebih baik Q4, HLIB saran 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Prospek Sunway Group dilihat lebih baik pada suku keempat 2021 sekali gus dapat mengimbangi prestasi yang lemah pada suku ketiga disebabkan sekatan pergerakan yang berpanjangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Nazira Abdullah berkata, kumpulan bagaimanapun memberi jaminan, impaknya tidak seteruk pada suku kedua tahun lalu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dikuatkuasakan. 

 

"Kami berpendapat, ia masih merekodkan keuntungan berbanding kerugian yang dialami pada suku kedua tahun lalu. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan prestasi keempat dapat mengimbangi kelemahan suku ketiga ini ekoran meningkatnya kadar vaksinasi yang mampu memacu pemulihan ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baru-baru ini, firma penyelidikan ini menyertai sesi pembentangan secara maya bersama pengurusan Sunway untuk meninjau prospek kumpulan bagi tahun ini. 

 

Melihat kepada prospeknya yang kekal kukuh, HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.58 berikutan kedudukan Sunway yang memiliki operasi pembangunan hartanah bersepadu, pembinaan dan bahan binaan bangunan.

 

"Dengan pendedahan kepada kepelbagaian perniagaan, kumpulan ini dilihat sebagai proksi yang baik kepada pemulihan ekonomi. 

 

"Di samping itu, usahanya untuk mengembangkan segmen penjagaan kesihatan dengan dana pelaburan kerajaan Singapura, GIC Pte Ltd. yang berakhir dengan penyenaraian berasingan unit penjagaan kesihatannya, dapat membantu menambah nilai kepada kumpulan," katanya.

 

Menurut Nazira, pendapatan bagi segmen penjagaan kesihatan untuk separuh pertama kekal kukuh dengan merekodkan untung bersih sebanyak RM41.5 juta, lebih tinggi berbanding RM34.7 juta pada separuh pertama 2019 berikutan kemasukan ke wad dan pesakit luar di Pusat Perubatan Sunway dan Pusat Perubatan Sunway Velocity.

 

"Perancangan kumpulan untuk membuka pusat perubatan di Sunway City dan Seberang Jaya pada 2022 juga kekal berada dalam landasan seperti dirancang walaupun terdapat kelewatan akibat sekatan pergerakan," tambahnya.

 

Beliau berkata, meskipun jualan hartanah adalah lemah pada Julai dan Ogos disebabkan kes jangkitan COVID-19 dan sekatan pergerakan, tetapi pengurusan yakin, ia dapat mencapai sasaran 2021 iaitu RM2.2 bilion. 

 

"Ini berdasarkan jualan yang kukuh pada separuh pertama sebanyak RM1.64 bilion, iaitu 74.5% daripada sasaran ditetapkan," tambahnya.

 

Pada masa sama, katanya, segmen pembinaan kumpulan juga terjejas akibat operasi yang ketika tempoh sekatan pergerakan, tetapi pengurusan yakin akan mendapatkan lanjutan daripada pelanggannya seperti mana yang dilaksanakan ketika PKP 1.0. - DagangNews.com