KUALA LUMPUR 19 Sept - Sunview Group Bhd, menerusi anak syarikatnya, Fabulous Sunview Sdn Bhd telah memeterai perjanjian dengan UOB Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan dan pengurusan sistem tenaga solar untuk perniagaan dan pengguna tempatan.
Sunview dalam satu kenyataan media berkata ia akan menyediakan perkhidmatan dalam pembangunan, perancangan, perolehan serta pembinaan dan penyelenggaraan sistem solar fotovoltaik (PV) untuk projek komersil, perindustrian, kediaman dan solar berskala besar (LSS).
Sementara itu, UOB Malaysia akan menyediakan pembiayaan kepada Sunview untuk menyiapkan projek, serta sokongan rantaian bekalan, termasuk akses kepada ekosistem pembekal peralatan program U-Solar bank terbabit.
Selain itu, pelanggan Sunview juga akan mempunyai pilihan pembiayaan pengguna akhir apabila memperoleh produk atau perkhidmatan Sunview.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata kumpulan itu optimis bahawa kerjasama tersebut meletakkannya secara strategik untuk merebut peluang akan datang memandangkan aktiviti industri solar melonjak baru-baru ini berikutan skim dan dasar yang baharu diperkenalkan.
“Kami berbesar hati untuk menyertai program U-Solar UOB Malaysia sebagai rakan kongsi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang ke-10.
“Kami yakin ia akan meningkatkan kapasiti kewangan kumpulan untuk aktiviti operasi dan pengembangan pasaran kami. Lebih-lebih lagi, ia memberi manfaat kepada pelanggan kami dengan menyediakan pilihan pembiayaan pengguna akhir,” tambahnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Komersial UOB Malaysia Beh Wee Khee berkata bank itu memperluaskan U-Solar untuk menangani isu aliran tunai dan jurang modal kerja bagi pemaju dan kontraktor yang lazimnya mempunyai terma belum terima projek yang lebih lama dan mungkin menghadapi tempoh pembayaran yang singkat daripada pembekal peralatan.
"Sunview kini akan dapat membiayai pembelian peralatan dan menjalankan pelbagai projek solar secara serentak dan mempercepatkan kadar penggunaan solar untuk negara mencapai cita-cita sifar bersihnya," kata Beh.
Pada pukul 9:30 pagi ini, saham Sunview tidak berubah pada 80.5 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM376.7 juta. - DagangNews.com








