KUALA LUMPUR 17 Feb - Sunview Group Bhd mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Fabulous Sunview Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd untuk tempoh selama setahun.
MoU tersebut menyaksikan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti pengenalan Pengecasan EV, Microgrid, Pemodenan Tapak Telekomunikasi dan penyelesaian Penyimpanan Tenaga secara bukan eksklusif.
Menerusi kerjasama tersebut, Huawei Malaysia pada dasarnya akan bertindak sebagai penyedia teknologi, manakala Sunview menjadi rakan kongsi pemenuhan strategik, tertakluk kepada terma dan syarat antara kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Operasi & Pengarah Eksekutif Sunview Group, Charlie Chow Kian Hung berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Huawei untuk pembangunan baharu dalam RE.
Katanya, dengan penggunaan RE yang semakin meningkat di seluruh dunia, kerjasama strategik dengan Huawei datang pada masa sesuai.
"Sunview akan dapat mencipta lebih nilai dengan teknologi daripada Huawei dalam membantu lebih banyak syarikat Malaysia dalam peralihan kepada penggunaan RE," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng berkata, pengeluaran kuasa perlu berkarbonat rendah untuk memacu revolusi tenaga untuk masa depan yang lebih baik dan hijau.
Katanya, visi pihaknya adalah untuk mendigitalkan tenaga tradisional dan ini dilakukan dengan menyepadukan teknologi digital dan kuasa elektronik," katanya.
"Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam teknologi digital dan kuasa elektronik, Huawei Digital Power telah mencipta penyelesaian tenaga karbon rendah, meliputi keseluruhan aliran tenaga daripada penjanaan kuasa hijau kepada penggunaan kuasa yang cekap.
"Ini termasuk penyelesaian FusionSolar Smart PV kami untuk penjanaan kuasa hijau, Kemudahan Pusat Data dan kemudahan Kuasa Tapak untuk infrastruktur ICT hijau, serta FusionCharge untuk mobiliti hijau," katanya. - DagangNews.com








