KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sunview Group Bhd membatalkan rancangan untuk menceburi industri tenaga boleh diperbaharui biogas selepas ia menamatkan cadangan pengambilalihan Provectus Bioenergy Sdn Bhd.
Provectus Bioenergy terlibat dalam pengendalian kemudahan penjanaan yang menghasilkan tenaga elektrik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunview berkata, penamatan itu disebabkan ketidakupayaan pihak-pihak untuk mencapai kata sepakat mengenai terma perjanjian penjualan saham (SSA) bagi keseluruhan pegangan saham dalam Provectus Bioenergy.
"Hasilnya, pihak-pihak berkenaan memutuskan bahawa ia adalah demi kepentingan bersama untuk menamatkan cadangan pengambilalihan dan SSA," katanya.
Sunview berkata, anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Suntech Energy Sdn Bhd bersama-sama dengan pembeli iaitu Warrants RE Assets Sdn Bhd, Intechcity Construction Sdn Bhd dan Pasir Lembayung Sdn Bhd memeterai surat ikatan penamatan bersama dengan vendor, Ee Hood Liang dan Wong Pak Wei untuk penamatan.
Katanya, penamatan itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham kumpulan dan pegangan saham pemegang saham yang besar, aset bersih sesaham, penggearan dan pendapatan sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.
Di bawah perjanjian awal, Sunview akan memiliki 20% dalam Provectus Bioenergy manakala Suntech Energy, Warrants RE Assets, Intechcity Construction dan Pasir Lembayung akan memiliki baki 80% selepas pengambilalihan.
Pengambilalihan itu akan menjadi usaha pertama Sunview dalam industri tenaga boleh diperbaharui biogas dan berfungsi sebagai landasan pelancarannya kepada lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui biogas akan datang. - DagangNews.com








