SHAH ALAM 23 Jan - Al-Ikhsan Sports, peruncit sukan terbesar di Malaysia, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama All Reds Malaysia (ARM) sebagai langkah strategik bagi memperkukuh penglibatan jenama itu dalam ekosistem bola sepak tempatan, khususnya melibatkan komuniti penyokong kelab antarabangsa.
Melalui kerjasama tersebut, ahli All Reds Malaysia akan menikmati akses serta harga eksklusif di seluruh rangkaian cawangan Al-Ikhsan Sports dan Football Republic di seluruh negara, sekali gus menawarkan nilai tambah kepada komuniti penyokong bola sepak berdaftar.
MoU berkenaan dimeterai oleh Pengurus Operasi Al-Ikhsan Sports, Syed Nabil Al-Aidid, manakala All Reds Malaysia diwakili Presidennya, Muzili Aznor Musa.
Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh dua bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan Talaha, selain barisan jawatankuasa induk All Reds Malaysia.
Syed Nabil berkata, kerjasama dengan ARM merupakan sebahagian daripada strategi Al-Ikhsan Sports untuk memperkukuh hubungan jangka panjang dengan komuniti peminat bola sepak di Malaysia, selain memperluas ekosistem runcit berteraskan pengalaman pelanggan.

Selain All Reds Malaysia, Al-Ikhsan Sports turut menjalin kerjasama strategik menerusi MoU seumpamanya bersama KL Kopites serta Red Army Malaysia, selaras dengan pendekatan syarikat untuk mendekati segmen penyokong bola sepak yang semakin berkembang.
Football Republic Batu 3 Shah Alam
MoU tersebut dimeterai bersempena pelancaran cawangan terbaharu Football Republic di Batu 3, Shah Alam, yang merupakan cawangan ketujuh jenama itu di seluruh negara, dengan cawangan utama beroperasi di Pavilion Elite, Kuala Lumpur.
Seiring dengan persiapan menjelang Piala Dunia FIFA 2026, cawangan Football Republic Batu 3, Shah Alam menawarkan ruang niaga yang lebih luas dan lokasi strategik, selain menampilkan pelbagai produk bola sepak premium termasuk kasut bola yang digunakan pemain bertaraf dunia, barangan rasmi Piala Dunia, jersi replika serta produk daripada liga utama antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga.
Bersempena pelancaran tersebut, Football Republic turut memperkenalkan promosi Beli 1 Percuma 1 bagi kasut bola berkualiti terpilih, selain tawaran diskaun sehingga 60 peratus sepanjang bulan ini.
“Sebagai destinasi runcit bola sepak utama di Malaysia, Football Republic merupakan antara peruncit terawal yang menerima pelancaran produk global eksklusif seperti adidas Predator, Nike Mercurial dan PUMA Ultra, lebih awal berbanding peruncit sukan lain,” katanya.
Beliau menambah, Al-Ikhsan Sports kekal komited menyokong pembangunan bola sepak negara dengan bertindak sebagai rakan penaja kepada beberapa pasukan tempatan termasuk Terengganu FC, Perak FC, Imigresen FC dan Kedah FC, selain menyediakan jersi rasmi pasukan berkenaan di cawangan terpilih bagi memenuhi permintaan peminat. – DagangNews.com








