KUALA LUMPUR 10 Mei - Subway hari ini mengumumkan perjanjian francais induk baharu dengan Pegacorn Sdn Bhd untuk mengembangkan jenama itu dengan membuka 500 lagi cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perkongsian itu adalah yang ketiga seumpamanya untuk Subway di Asia Tenggara, berikutan perjanjian francais induk baru-baru ini di Indonesia dan Thailand, selain akan meningkatkan jumlah komitmen restoran masa depan di rantau ini dengan ketara.
Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey berkata, pasaran Asia Pasifik dan Asia Tenggara terus menjadi peluang besar pertumbuhan untuk Subway dan bahagian penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa mereka.
“Pegacorn telah terbukti sebagai pengendali tempatan yang mempunyai sumber yang baik, strategik dan berjaya yang mempunyai wawasan dan pengalaman tempatan yang diperlukan untuk mengembangkan kehadiran Subway di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Memandangkan kebolehcapaian kekal sebagai keutamaan bagi jenama di bawah Pegacorn, pelanggan boleh menjangkakan untuk melihat peningkatan lokasi Subway di seluruh Malaysia, seperti di lapangan terbang, hospital, stesen minyak dan kedai serbaneka.
Di samping itu, restoran sedia ada akan dinaik taraf dengan menampilkan reka bentuk moden “Fresh Forward” Subway dan meningkatkan kemudahan untuk pelanggan dengan pilihan pandu lalu dan ‘Grab & Go’ baharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pegacorn, Kin Siong Kon berkata , pihaknya teruja dengan peluang untuk menerajui pertumbuhan Subway di Malaysia dan meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai jenama itu.
"Kami telah melihat peningkatan permintaan daripada pelanggan di Malaysia serta komited untuk mengembangkan perniagaan bagi menjadikan Subway lebih mudah diakses oleh komuniti di seluruh negara," katanya.
Perjanjian dengan Pegacorn adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi berbilang tahun Subway dan menambah baik dalam semua aspek jenama sambil perniagaan mengembangkan kehadirannya di seluruh dunia.


Subway akan terus mencari rakan kongsi yang kukuh dengan kepakaran dalam pasaran tempatan di seluruh APAC kerana ia secara agresif menggandakan rangkaian restoran semasa di rantau ini daripada kira-kira 3,300 kepada lebih 6,000 restoran dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com








