Strategi serampang dua mata bantu Senheng catat prestasi lebih kukuh, CGS-CIMB naikkan TP kepada 90 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi serampang dua mata bantu Senheng catat prestasi lebih kukuh, CGS-CIMB naikkan TP kepada 90 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Senheng New Retail Bhd. dijangka mencatat prestasi separuh kedua yang lebih kukuh berikutan strategi serampang dua mata yang dilaksanakannya menghasilkan margin lebih tinggi. 

 

Ini membolehkan CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 90 sen daripada sebelum ini, 80 sen sesaham. 

 

Menurut firma itu, Senheng melaksanakan kecekapan operasi yang lebih tinggi menerusi projek kecekapan dalaman secara berterusan dan penyelesaian pemasaran digital proprietari, yang sepatutnya mengurangkan kos pengiklanan dan promosi.

 

"Selain itu, ia menyaksikan margin keuntungan kasar yang lebih baik daripada pelan agresifnya untuk mengembangkan produk dalaman dan margin eksklusif yang lebih tinggi. 

 

"Prestasi kukuh pada separuh kedua ini juga didorong faktor suku keempat yang lebih kukuh berdasarkan kepada keuntungan bersih teras merangkumi 42 hingga 44% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY20)/FY21 berikutan prestasi hujung tahun yang lebih baik dan kempen promosi musim cuti," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Senheng mencatatkan keuntungan bersih RM16.1 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 43.03% daripada RM11.25 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, kerana ia mencatatkan hasil dan margin keuntungan kasar yang lebih baik daripada perubahan dalam campuran produk.

 

Hasil suku tahun itu meningkat 32.85% kepada RM397.71 juta daripada RM299.36 juta, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk elektronik pengguna dalam keadaan sektor runcit yang bertambah baik, berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan tempatan.

 

Untuk enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2022, keuntungan bersih Senheng meningkat 7.21% kepada RM24.99 juta daripada RM23.31 juta bagi tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan produktiviti yang lebih tinggi, dengan pertumbuhan jualan kedai yang sama sebanyak 8.85%. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 13.52% kepada RM765.02 juta daripada RM673.91 juta, disumbangkan oleh strategi pengembangan kedai kumpulan menerusi kempen 'Juara Wilayah' dalam setiap radius 5 kilometer setiap kedai.

 

Menurut CGS-CIMB, keuntungan bersih teras pada separuh pertama kumpulan sebanyak RM33.1 juta adalah melepasi jangkaannya berikutan margin yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami mengulangi pandangan 'tambah' ini setelah mengambil kira pelaksanaan perniagaan Senheng yang berkesan hingga menyumbang kepada pengembangan margin.

 

"Kami turut menyemak naik unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 7.5 hingga 12.3% berikutan anggaran margin kami yang lebih tinggi," katanya.

 

Setakat 11.18 pagi ini, harga saham Senheng susut 1.5 sen atau 1.96% kepada 75 sen dengan 597,400 saham diniagakan. - DagangNews.com