Strategi kepelbagaian jadi pemacu pendapatan Dancomech, CGS-CIMB mulakan liputan dengan saranan 'tambah' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi kepelbagaian jadi pemacu pendapatan Dancomech, CGS-CIMB mulakan liputan dengan saranan 'tambah'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap Dancomech Holdings Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran 44 sen sesaham dengan menjangkakan pertumbuhan pendapatannya akan terus dipacu menerusi strategi kepelbagaian kumpulan setelah mengambil alih empat anak syarikat sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2016.

 

Secara dasarnya, perniagaan teras Dancomech ialah perdagangan dan pengedaran peralatan kawalan proses yang menyumbang 40.3% daripada hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21).

 

Menurut firma itu, keistimewaan segmen itu terletak pada aliran hasil berulangnya dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) hasil empat tahun sebanyak 7.4% bagi FY17 hingga FY21 disokong permintaan daripada kerja penyelenggaraan (65% daripada jualan FY21) serta projek baharu (35%) dalam sektor petrokimia dan minyak sawit.

 

"Kekuatan daya saingnya terletak pada perkhidmatan nilai tambah seperti khidmat runding, kerjasama eksklusif dengan jenama antarabangsa dan memiliki pelanggan yang meluas.

 

"Ini membolehkan kumpulan merekodkan margin keuntungan kasar yang lebih baik bagi FY19 hingga FY21 antara 28% hingga 36.7% berbanding perniagaan trading biasa (yang kami anggarkan antara 10% hingga 15%)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, Dancomech ditubuhkan pada 1989 oleh pengaran urusan dan pemegang saham utamanya ketika ini, Aik Swee Tong. 

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan telah mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatannya terutamanya melalui aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam pelbagai segmen lain seperti pembuatan pam industri dan penyediaan sistem pengendalian bahan (MHS), acuan logam serta elektrik dan elektronik (E&E).

 

CGS-CIMB berkata, dua anak syarikat utamanya dalam acuan logam dan E&E mempamerkan pertumbuhan yang kukuh. 

 

Katanya, untuk segmen acuan logam (dianggarkan CAGR 3 tahun sebanyak 17.4% bagi FY21-FY24), Dancomech mungkin akan meningkatkan kapasiti antara 15% hingga 20% menjelang akhir FY22, disokong oleh permintaan kukuh daripada pelanggan sedia ada dan usaha berterusan untuk mendapatkan pelanggan baharu.

 

"Ia juga menganggarkan sumbangan ketara daripada segmen E&E (dengan CAGR 3 tahun 45.8% bagi FY21-FY24), disokong nilai kontrak tang kukuh, yang mana kami anggarkan berjumlah RM7 juta sehingga akhir 2023," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu menganggarkan kedua-dua segmen itu akan menjadi pemangkin kepada keuntungan bersih teras Dancomech dengan CAGR 9.8% bagi FY21 hingga FY24 di samping pemulihan jualan bagi segmen trading daripada pandemik COVID-19. - DagangNews.com