KUALA LUMPUR 10 Mac - Jumlah stok minyak sawit Malaysia turun sebanyak 6.56% kepada 2.11 juta tan metrik pada Februari 2023 daripada 2.26 juta tan metrik yang direkodkan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB dalam satu kenyataan hari ini berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) berkurangan sebanyak 7.69% kepada 1.16 juta tan metrik pada Februari daripada 1.25 juta tan metrik pada Januari.
Katanya, stok minyak sawit diproses susut 5.15% kepada 959,451 tan metrik daripada 1.01 juta tan metrik sebelumnya.
"Pengeluaran MSM merosot 9.35% kepada 1.25 juta tan metrik pada Februari daripada 1.38 juta tan metrik pada Januari, manakala pengeluaran isirong sawit turun 7.10% kepada 316,196 tan metrik daripada 340,369 tan metrik.
"Eksport minyak sawit juga susut 1.99% pada Februari kepada 1.11 juta tan metrik daripada 1.13 juta tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala eksport oleokimia meningkat 8.13% kepada 228,088 tan metrik berbanding 210,936 tan metrik," katanya.
Tambah kenyataan itu, eksport biodiesel pada bulan tersebut meningkat 3.23% kepada 14,699 tan metrik daripada 14,239 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Manakala, eksport dedak isirong sawit naik 4.04% kepada 210,612 tan metrik daripada 202,431 tan metrik.
"Eksport minyak isirong sawit jatuh 3.57% pada Februari kepada 59,888 tan metrik daripada 62,102 tan metrik pada Januari," katanya. - DagangNews.com








