KUALA LUMPUR 10 Feb - Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Januari 2023 meningkat 3.26% kepada 2.27 juta tan berbanding 2.2 juta tan yang dicatatkan pada Disember 2022, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industrinya bagi Januari 2023, agensi itu berkata, stok minyak sawit mentah menurun 2.87% kepada 1.26 juta tan daripada 1.29 juta tan pada Disember.
Stok minyak sawit yang diproses meningkat 12.05% kepada 1.01 juta tan daripada 902,701 tan sebelum ini.
Pengeluaran minyak sawit mentah merosot 14.73% kepada 1.38 juta tan pada Januari daripada 1.62 juta tan pada Disember, manakala pengeluaran isirung sawit turun 14.79% kepada 340,369 tan.
“Eksport minyak sawit berkurangan sebanyak 22.96% pada Januari kepada 1.14 juta tan daripada 1.47 juta tan pada Disember, eksport oleo kimia turut susut 7.56% kepada 210,936 tan berbanding dengan 228,181 tan,” katanya.
MPOB berkata, eksport biodiesel pada Januari merosot 5.09% kepada 14,239 tan daripada bulan sebelumnya dan eksport hampas isirung sawit susut 8.99% kepada 202,431 tan daripada 222,427 tan.
Eksport minyak isirung sawit merosot 53.81% pada Januari kepada 62,102 tan dari Disember.
Import minyak sawit mentah pada Januari menyusut 35.52% bulan ke bulan kepada 9,964 tan berbanding 15,453 tan pada bulan sebelumnya.
Jumlah import minyak sawit melonjak 123.29% bulan ke bulan kepada 144,937 tan daripada bulan sebelumnya. - DagangNews.com








