Steel Hawk tawar IPO bagi pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Steel Hawk tawar IPO bagi pindah penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Steel Hawk Bhd telah memfailkan draf prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sebagai sebahagian daripada pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE di Bursa Malaysia.

 

IPO syarikat perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas itu melibatkan 134.7 juta saham yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90 juta saham baharu dan tawaran penjualan 44.7 juta saham sedia ada, menawarkan pelabur 27.49% kepentingan dalam syarikat tersebut.

 

Steel Hawk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2021 dan mengumumkan hasrat untuk berpindah ke Pasaran ACE pada tahun lalu.

 

Dalam pendedahan prospektus itu, kumpulan itu berkata secara umum, sahamnya tidak cair dan mempunyai nilai dagangan yang lebih rendah kerana tebaran pegangan saham awamnya rendah pada 22% berbanding 25% di bawah keperluan penyenaraian.

 

“Sebagai sokongan terhadap pemindahan, semua pemegang saham kami telah memberikan akujanji bertulis mereka untuk terus memegang dan tidak akan melupuskan, memindahkan atau mengurangkan saham mereka dalam syarikat kami sehingga selesai,” tambahnya.

 

Daripada 90 juta saham baharu, Steel Hawk menawarkan 24.5 juta saham kepada orang ramai Malaysia, 12.25 juta kepada orang berkelayakan dan 53.25 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian. 

 

Tawaran jualan pula akan dilakukan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Hasil daripada IPO tersebut akan digunakan untuk pembinaan kemudahan kedua syarikat di Teluk Kalung yang dianggarkan menelan belanja RM13.64 juta, serta membiayai modal kerja, pembayaran balik sebahagian pinjaman bank dan perbelanjaan pemindahan penyenaraian.

 

Sementara itu, sebarang wang yang diperoleh daripada tawaran jualan akan terakru sepenuhnya kepada penjualan pemegang saham, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Salimi Khairuddin dan Ketua Pegawai Operasi, Khairul Nazri Kamarudin.

 

UOB Kay Hian ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com