Status pegangan awam FGV masih menimbulkan tanda tanya, berisiko digantung dagangan - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Status pegangan awam FGV masih menimbulkan tanda tanya, berisiko digantung dagangan - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Di sebalik merekodkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), dagangan FGV Holdings Bhd. kemungkinan digantung memandangkan ia tidak mematuhi tebaran pegangan saham awam sebanyak 25%, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Setakat November 2022, tebaran pegangan awam FGV berada pada paras 13.1%.

 

"Bagaimanapun, Bursa Malaysia tidak menyatakan sama ada FGV akan diberi lebih masa untuk menyelesaikan isu penyebaran pegangan saham awamnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersihnya meningkat kepada RM1.32 bilion bagi FY22 daripada RM1.17 bilion manakala pendapatan meningkat kepada RM25.56 bilion berbanding RM19.57 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keputusan FY22 menyaksikan kumpulan merekodkan keuntungan operasi tertinggi sejak disenaraikan pada 2012 sebanyak RM2.33 bilion pada FY22, mewakili peningkatan 27% berbanding FY21.

 

 

Baca : Untung bersih FGV susut 27% kepada RM465.09 juta pada suku keempat dipengaruhi terutamanya segmen perladangan, gula

 

 

Peningkatan itu disumbangkan terutama kenaikan margin produk minyak sawit berikutan harga purata direalisasikan 32% lebih tinggi, beserta daya pengeluaran dan tan yang lebih tinggi daripada segmen logistik.

 

Ini mendorong AmInvestment menaikkan penarafan FGV kepada 'pegang' daripada 'jual' dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.60 daripada RM1.35 sesaham sebelum ini. 

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, Felda telah mencetuskan tawaran mandatori (MO) untuk mengambil alih FGV pada RM1.30 sesaham pada Januari 2021. 

 

Pegangannya telah meningkat daripada 51% kepada 82% dan tidak lagi memenuhi keperluan penyenaraian pegangan saham awam minimum 25%.

 

"Selepas MO dilanjutkan beberapa kali, Felda masih gagal berbuat demikian pada Ogos 2022. Sebaliknya, FGV mencadangkan untuk menerbitkan saham keutamaan Islam baharu bagi menangani isu berkenaan. 

 

"Setakat ini, tiada butiran tersedia tetapi ia mungkin dapat mengurangkan hutang dan mengalihkan daripada hasil tanpa mencairkan pendapatan sesaham (EPS)," jelasnya.

 

Namun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'market perform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.40 sesaham terhadap FGV. 

 

Menurutnya, prestasi FY22 adalah mengatasi jangkaannya didorong pengeluaran buah tandan segar dan harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh serta langkah membendung kos dapat mengimbangi kerugian daripada segmen gula.

 

"Namun begitu, disebabkan margin huluan berdepan tekanan, keuntungan mungkin akan berkurangan. Bagaimanapun, kami menaikkan unjuran untung bersih sebanyak 6% bagi FY23," katanya.

 

Setakat 10.36 pagi, harga saham FGV menokok 1 sen atau 0.69% kepada RM1.46 dengan 527,400 saham diniagakan. -DagangNews.com