KUALA LUMUR 8 Mac - Pertikaian undang-undang antara Star Media Group Bhd dan JAKS Resources Bhd mengenai pembangunan sebidang tanah di Seksyen 13, Petaling Jaya dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
"Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac 2024 sebulat suara mendapati tiada merit dalam rayuan Star Media terhadap JAKS Resources dan Jaks Island Circle Sdn Bhd dan menolak rayuan dengan kos RM150,000 yang perlu dibayar oleh Star Media," kata JAKS Resources dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, panel tiga hakim mahkamah tertinggi semalam sebulat suara menolak rayuan Star Media Group terhadap keputusan yang tidak memihak kepada syarikat media itu yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 — yang mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi terdahulu pada 2020 untuk JAKS membayar RM134.5 juta baki harga belian tanah dan RM50.54 juta faedah pembayaran lewat, dan mengekalkan perintah Mahkamah Rayuan supaya perkara itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan. Rayuan itu ditolak dengan kos,” kata hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang mengetuai panel itu, ketika menyampaikan penghakiman lisan selepas mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak dalam kes tersebut seperti dilapor The Edge.
Mahkamah juga memerintahkan Star Media membayar RM150,000 sebagai kos kepada JAKS Resources dan anak syarikatnya, manakala kes akan diteruskan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan pada 25 Ogos 2025.

Pertikaian undang-undang, yang bermula enam tahun lalu, adalah mengenai pelupusan tanah Star pada 2011 kepada JAKS, sebagai balasan untuk pembinaan menara pejabat 15 tingkat di atas tanah itu.
Unit JAKS, JAKS Island Circle Sdn Bhd (JIC) komited kepada jaminan bank RM50 juta untuk memastikan menara pejabat siap dibina dan diserahkan.
Selain itu, JAKS turut menyediakan jaminan korporatnya yang memihak kepada Star Media tetapi JAKS didakwa terlepas tarikh akhir penyerahan menara pejabat, dengan kelewatan itu berlarutan selama 28 bulan.
Star Media membuat tuntutan untuk jaminan bank pada 2018, mendakwa JIC telah gagal menyerahkan menara pejabat, yang dipertikaikan oleh JIC.
Bagaimanapun JAC kemudiannya membayar jumlah itu kepada Star Media pada Januari 2019.
Star Media, bagaimanapun, masih membawa perkara itu ke mahkamah dengan memfailkan saman terhadap JAKS pada 30 April 2019, mendakwa JAKS gagal melaksanakan tanggungjawabnya di bawah jaminan korporatnya untuk JIC menyerahkan menara pejabat itu.
Star Media mahukan RM134.5 juta daripada JAKS sebagai baki harga belian tanah itu, bersama faedah pembayaran lewat sebanyak RM43.22 juta.
JAKS kemudiannya memfailkan tuntutan balas bagi pemulangan jaminan bank RM50 juta, bersama RM248.24 juta sebagai ganti rugi dan menuntut RM297.04 juta untuk kehilangan hasil daripada pengumpulan dana korporat kerana ia mendakwa saman Star Media terhadap syarikat telah menjejaskan pengumpulan dananya.
Ketika Star meminta penentuan awal mengenai saman ini, kedua-dua pihak membuat tiga rayuan terhadap keputusan yang tidak memihak kepada mereka, sebelum keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan, yang mengembalikan pertikaian itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili Star Media dalam kes itu memberitahu mahkamah tertinggi bahawa kedua-dua keputusan hakim Mahkamah Tinggi dalam kes itu — yang memihak kepada Star Media — harus diputuskan sebagai dihakimi atau res judicata, atas dasar hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Persekutuan) pada masa itu telah memutuskan bahawa cadangan tarikh siap dan penyerahan menara itu hendaklah pada Februari 2018 dan bukannya Jun 2020.
Cyrus berhujah bahawa ini adalah kerana perjanjian jual beli tanah itu telah digubal pada 2012, dengan tarikh siap bangunan ditetapkan tiga tahun selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, yang sepatutnya pada 16 Ogos 2012.
Tetapi berikutan lima lanjutan yang diberikan kepada JAKS untuk menyiapkan projek itu, penyiapan akhir dan penghantaran projek itu ditunda sehingga Februari 2018.
Datuk Malik Imtiaz Sarwar sebagai peguam JAKS bersama peguam Khoo Suk Yi pula berkata, Star Media telah meminta perubahan kepada pelan bangunan, justeru pelan bangunan yang dipinda perlu dikemukakan untuk kelulusan kepada pihak berkuasa tempatan, yang melambatkan projek itu.
JIC, katanya, juga telah mengeluarkan surat kepada syarikat media itu untuk menyatakan kelewatan penyerahan bangunan itu disebabkan oleh pengubahsuaian yang dibuat, memandangkan kelulusan pelan bangunan yang dipinda hanya dibuat pada 2017.
Zabariah bagaimanapun berkata, pertikaian mengenai tarikh yang sepatutnya siap bukanlah isu teras dalam kes itu, sebaliknya sama ada bangunan itu benar-benar siap dan diserahkan.
Dua lagi anggota panel mahkamah tertinggi ialah hakim Datuk Hasnah Mohamed Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.- DagangNews.com








