KUALA LUMPUR 14 Nov - Standard Chartered Global Research menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 kepada 8.2% setelah ekonomi negara pada suku ketiga berkembang 14.2%.
Sebelum itu, firma tersebut mengunjurkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan 7% bagi tahun ini.
Menurutnya, penggunaan swasta kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada asas tahun ke tahun, menyumbang kira-kira 65% daripada pertumbuhan KDNK suku ketiga.
Katanya, pertumbuhan kukuh pada suku tersebut sebahagiannya dirangsang oleh kesan asas disebabkan oleh sekatan COVID-19 yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021.
"Ini mendorong ekonomi terus berkembang sebanyak 1.9% suku ke suku (pelarasan musim), suku keempat berturut-turut yang menyaksikan kenaikan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data yang dikeluarkan BNM pada Jumaat lalu menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, pasaran pekerjaan yang kukuh dan permintaan luaran yang mantap.
Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9% dan lebih kukuh berbanding 5% yang dicatatkan pada suku pertama 2022.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika sidang akhbar berkata, bank pusat itu melihat beberapa cabaran terhadap pertumbuhan pada 2023, namun tidak menjangkakan kemelesetan.
Susulan pertumbuhan kukuh itu, Standard Chartered menjangkakan BNM akan meneruskan kitaran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari depan menjadikannya kepada 3.00%.
Bagaimanapun, katanya, bank pusat mungkin akan menangguhkan kenaikan itu buat seketika dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac.
"Kami jangkakan ia akan menaikkan OPR yang menjadi penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan ini seterusnya pada Mei sebanyak 25 mata asas.
"Tetapi, kenaikan ini bergantung kepada perubahan subsidi yang kemungkinan dilaksanakan pada separuh kedua 2023 dan jika permintaan domestik kekal kukuh," tegasnya.
Pada 3 November lalu, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada mesyuarat kali terakhirnya tahun ini.
Ia adalah kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini bermula Mei, Julai dan September lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.50% berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.
Berikutan kenaikan terbaharu itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.
Nor Shamsiah minggu lalu berkata, MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal dalam menentukan sebarang keputusan dasar monetari.
Sebaliknya, ia akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan domestik dalam menentukan sebarang pelarasan dasar monetari.
Beliau turut menjelaskan pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. - DagangNews.com








