KUALA LUMPUR 27 Mac - Sebuah kempen diadakan bagi membantu belia Malaysia menerokai peluang pekerjaan dalam sektor industri pemprosesan makanan dan bagaimana latihan kemahiran teknikal dapat membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang berkualiti dalam industri tersebut.
Bertemakan 'Cita Rasa Masa Depan - Menjelajahi Keunikan dan Kreativiti Dalam Industri Pembuatan dan Perkhidmatan Makanan, kempen tersebut adalah kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Standard Chartered Foundation, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa.
Seramai 100 pengunjung termasuk belia menyertai program tersebut di Madrasah Babul Khairat, PPR Cochrane Perkasa untuk merasai sendiri pengalaman bagaimana Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat memberi peluang pekerjaan kepada belia di negara ini dalam industri pemprosesan makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Charterd Saadiq Malaysia, Mohd Suhaimi Abdul Hamid berkata, projek ini sebahagian daripada inisiatif global Futuremakers oleh Standard Chartered yang bertujuan menangani isu-isu ketidaksamaan dengan menggalakan pendekatan ekonomi inklusif kepada golongan belia daripada komuniti rentan.
"Standard Chartered Foundation meletakkan sasaran global sebanyak AS$75 juta antara tahun 2019 dan 2023 ntuk memperkasakan generasi masa depan dan Futuremakers akan dilaksanakan menerusi program-program komuniti yang memfokuskan bidang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan," katanya dalam kenyataan.
Penyelaras Program ILO Young Futuremakers Malaysia, Zharif Badrul berkata, kadar kebolehpasaran bagi graduan TVET di Malaysia sangat tinggi dan industri pemprosesan makanan juga berkembang dengan baik di Malaysia.
"Kami mahu belia Malaysia dapat menjadikan TVET sebagai satu peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik di masa hadapan.

Dalam pada itu, kempen ini akan berlangsung selama tiga bulan menerusi media sosial dan sebuah kempen seumpama ini dijadualkan akan berlangsung pada Mei di Kedah.

Di samping kempen kesedaran ini, projek ILO Young Futuremakers Malaysia juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti agensi-agensi kerajaan, kesatuan pekerja, kesatuan majikan, institusi-institusi TVET serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kerjasama tersebut bagi melaksanakan program-program berkaitan latihan kemahiran dan sokongan pasca latihan kepada pelajar-pelajar TVET dan pekerja-pekerja belia dalam industri pemprosesan makanan. - DagangNews.com








