Southsea Gold tingkatkan langkah keselamatan di tanah perlombongan Bukit Mantri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southsea Gold tingkatkan langkah keselamatan di tanah perlombongan Bukit Mantri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Southsea Gold Sdn Bhd (Southsea) meningkatkan tahap pelaksanaan langkah keselamatan di dua pusat pemeriksaan pintu masuk di jalan masuk ke tanah pajakan perlombongannya di Bukit Mantri, Tawau bagi melindungi daripada kemasukan yang tidak dibenarkan.

 

Syarikat itu berkata, langkah itu dibuat selepas Bahvest Resources Berhad (Bahvest) mendakwa terdapat sekumpulan lelaki operasi mereka melalui pengumuman di Bursa Malaysia pada 27 Jun 2023.

 

"Semua individu yang ingin memasuki tanah pajakan perlombongan Southsea dikehendaki membuat pra-pendaftaran untuk Pas Kemasukan yang mesti dikemukakan di pusat pemeriksaan keselamatan bersama-sama dengan kad pengenalan atau pasport mereka untuk pengesahan. 

 

"Mana-mana individu tanpa Pas Kemasukan dan dokumen pengenalan negara yang tulen akan ditolak kemasukan.

 

"Semua kakitangan Wullersdorf Resources Sdn Bhd (Wullersdorf) atau Bahvest yang diberi kuasa atau tetamu dengan Pas Kemasukan dan pengenalan yang diterima akan dibenarkan terus melalui tanah Southsea untuk mengakses tapak Wullersdorf. Wullersdorf ialah anak syarikat Bahvest, yang mengendalikan lombong emas," katanya dalam satu kenayataan, hari ini.

 

Syarikat itu berkata, Pas Kemasukan akan membantu mengekalkan rekod semua individu yang memasuki tanah pajakan perlombongan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa apabila diperlukan.

 

Katanya, ia merupakan langkah tambahan untuk melindungi daripada sebarang dakwaan yang salah, berdasarkan peristiwa baru-baru ini, termasuk penyiasatan terhadap dakwaan emas hilang atau dicuri dan pengumuman Bahvest tentang kehadiran individu yang tidak dibenarkan.

 

Pada masa yang sama, Southsea hari ini telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Tawau dalam usaha untuk mendapatkan semula wang yang terhutang oleh Bahvest kepada syarikat itu.

 

Katanya, saman itu memohon perintah Mahkamah Tinggi Tawau untuk memaksa Bahvest membayar baki hutang RM7 juta kepada Southsea dan mengalihkan mana-mana bangunan, peralatan, mesin dan/atau struktur selepas tamat tempoh lanjutan pada 31 Julai 2023.

 

"Saman itu dibuat selepas Southsea menghantar dua surat pada 16 Jun 2023 dan 1 Julai 2023 untuk mengingatkan Bahvest menyelesaikan jumlah tertunggak yang terhutang kepada Southsea untuk pendudukan salah peralatan di tanah pajakan perlombongan dan tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka.

 

"Bagaimanapun, Datuk Lo Fui Ming dan pejabat Southsea telah menerima panggilan telefon gangguan menggesa Southsea menandatangani draf perjanjian penyewaan yang telah diserahkan pada 29 Mei 2023," katanya.- DagangNews.com