Southern Cable raih kontrak RM332 juta bekal kabel bawah tanah kepada TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Cable raih kontrak RM332 juta bekal kabel bawah tanah kepada TNB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pengilang kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM332 juta untuk membekalkan kabel kuasa kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Southern Cable berkata surat anugerah tersebut, yang diterima anak syarikatnya, Southern Cable Sdn Bhd, melibatkan pembekalan dan penghantaran kabel bawah tanah pelbagai saiz dan konduktor kepada Bahagian Rangkaian Agihan TNB untuk tempoh setahun mulai Julai 2023.

 

Kumpulan itu berkata nilai kontrak berkenaan merupakan yang terbesar diperolehnya, menjadikan jumlah pesanan keseluruhannya lebih RM1 bilion yang melibatkan pelaksanaan beberapa projek sehingga 2026.

 

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata kontrak baharu tersebut menunjukkan keyakinan TNB terhadap keupayaannya untuk menghasilkan produk berkualiti, memenuhi keperluan infrastruktur kuasa negara yang semakin berkembang.

 

 

Tung Eng Hai
Tung Eng Hai

 

 

“Jumlah besar pesanan yang dimiliki kami ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pengilang kabel dan wayar terkemuka, menyokong momentum yang memperkukuhkan pendapatan kami.

 

“Kami juga menerima permintaan yang stabil daripada pelanggan lain, yang terdiri daripada kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan penjual semula,” ujar beliau sambil menambah kumpulan itu berhasrat untuk merebut peluang pertumbuhan dengan memanfaatkan keadaan pasaran semasa.

 

Selain TNB, Southern Cable turut mempunyai kontrak dengan Telekom Malaysia Berhad, Sabah Electricity Sdn. Bhd. dan Sarawak Energy Berhad.

 

Tung berkata kumpulan itu komited untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Malaysia bagi membantu negara mencapai objektif keselamatan tenaga jangka panjang.

 

Saham Southern Cable hari ini ditutup tidak berubah pada 35.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM284 juta. - DagangNews.com