Solarvest dijangka raih manfaat daripada CGPP, RHB Investment positif pendapatan berulang terus dijana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest dijangka raih manfaat daripada CGPP, RHB Investment positif pendapatan berulang terus dijana

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - RHB Investment menjangkakan Solarvest Holdings Berhad mendapat manfaat daripada peralihan negara ke arah tenaga boleh diperbaharui dan harus kekal di hadapan dalam sektor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar tempatan.

 

“Susulan pengumuman pembida yang disenarai pendek untuk Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), kami kekal positif Solarvest terus menjana pendapatan berulang melalui aset solar dan mengukuhkan lagi penambahan pesanan EPCCnya untuk dua tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma tersebut, Suruhanjaya Tenaga telah menyenarai pendek 22 pengeluar tenaga solar dan pengumuman pertama menganugerahkan jumlah kapasiti 563.42 megawatt (MW), dengan kapasiti loji antara 7MW dan 30MW.

 

Jelasnya,  perjanjian pembelian tenaga (PPA) 21 tahun dijangka ditandatangani antara Tenaga Nasional Bhd, pengeluar tenaga terpilih, serta pengambil alih mereka, dengan loji itu dijangka mula beroperasi pada 2024 hingga 2025.

 

RHB Investment berkata Solarvest, melalui anak syarikat dan syarikat tujuan khasnya Atlantic Blue, Blazing Solar dan Solarvest Asset Management telah memenangi tiga aset solar berjumlah 90MW di bawah tiga konsortium berbeza.

 

Tambahnya, kewangan sedang dimuktamadkan dan pengeluar kuasa yang disenarai pendek dikehendaki memohon program Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dalam tempoh tiga bulan.

 

“Kelulusan boleh mengambil masa tiga hingga enam bulan. Kami menjangkakan sumbangan pendapatan berulang yang ketara akan bermula pada tahun kewangan 2026 (FY26),” katanya.

 

Menurut RHB Investment, Solarvest mempunyai hak pertama untuk menolak sejumlah 175MW pekerjaan EPCC (31% daripada kapasiti 563.42MW yang diumumkan), melebihi andaian firma sebanyak 150MW, disebabkan Solarvest telah melaksanakan reka bentuk dan perundingan CGPP sebelum ini untuk pelanggannya.

 

"Dengan mengandaikan kontrak RM3 juta setiap MW, jumlah kontrak boleh bernilai sehingga lebih kurang RM525 juta," kata mereka.

 

Firma tersebut menyemak semula pertambahan buku pesanan FY25 dengan potensi perolehan kerja EPCC lebih tinggi daripada CGPP, dengan jangkaan pendapatan FY25-26 meningkat 10.2% sehingga 11.9%.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.53 sesaham daripada RM1.46.

 

Pada waktu penulisan, saham Solarvest menokok 2 sen atau 1.5% kepada RM1.32, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM881.4 juta.  - DagangNews.com