SME Corp, Enterprise Singapore meterai MoU beri tumpuan pertumbuhan PMKS | DagangNews Skip to main content

SME Corp, Enterprise Singapore meterai MoU beri tumpuan pertumbuhan PMKS

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Lee Hsien Loong (kanan) menyaksikan pemeterian MoU antara SME Corp dan Enterprise Singapore yang diwakili Rizal Nainy (dua, kiri) dan Lee Chuan Teck (dua, kanan) di Singapura, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - SME Corp Malaysia dan Enterprise Singapore memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memberikan tumpuan kepada aspek latihan, pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran yang lebih luas untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kedua-dua negara.

 

Malaysia mengenal pasti lapan sektor yang akan diberi keutamaan untuk aktiviti padanan perniagaan termasuk pertanian pintar, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, industri halal, minyak dan gas, pelancongan dan biomas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, melalui MoU itu, pihaknya berhasrat ia bakal membawa kepada kerjasama lebih erat serta kemakmuran ekonomi untuk Malaysia dan Singapura, khususnya dalam pembangunan PMKS menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik. 

 

"Kedua-dua negara amat mengharapkan untuk mengambil peluang daripada potensi sektor PMKS masing-masing dan memanfaatkan kerjasama ini bagi menyokong aspek keusahawanan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi. 

 

"MoU yang dimeterai ini sememangnya satu peristiwa penting buat kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Terdahulu, MoU itu ditandatangani Rizal dan Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore, dan Lee Chuan Teck, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua organisasi ke arah pembangunan PMKS Malaysia dan Singapura. 

 

Ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsieon Loong sempena lawatan kerja Anwar ke sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura yang ke-10 di Singapura baru-baru ini.

 

 

SME

 

 

SME

 

 

Sementara itu, trend positif dalam perdagangan Malaysia-Singapura berterusan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, dengan nilai dagangan mencecah RM281.9 bilion. 

 

Prestasi itu menyerlahkan daya tahan dan dinamik hubungan perdagangan dua hala. Statistik tersebut menunjukkan komitmen yang jitu terhadap pertumbuhan dan kemakmuran bersama yang menekankan kepentingan perkongsian strategik antara kedua-dua negara. - DagangNews.com