KUALA LUMPUR 25 Julai - SME Bank berjaya merekodkan satu lagi terbitan Sukuk Kelestarian menerusi proses penetapan harga yang mencatatkan permintaan sebanyak RM536 juta yang melebihi jumlah awal yang disasarkan iaitu RM300 juta.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, di tengah-tengah pasaran yang mencabar dan situasi kenaikan kadar keuntungan, Sukuk Kelestarian SME Bank berjaya menetapkan harga terbitan pada kadar keuntungan kompetitif 4.04%.
"Sukuk Kelestarian SME Bank telah menerima permintaan yang baik daripada institusi pembiayaan tempatan, syarikat pengurusan dana dan insurans serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
"Ini sekali gus menandakan tahap keyakinan yang tinggi daripada komuniti pelaburan terhadap keupayaan SME Bank untuk memenuhi mandatnya dalam membimbing dan membangunkan PKS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Perbendaharaan, Mohd. Nazri Abu Samah berkata, hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk membiayai projek berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Selain itu, katanya, SME Bank juga dapat menawarkan penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif untuk perusahaan kecil dan sederhana.
"Program Sukuk Wakalah jaminan bukan kerajaan SME Bank ini telah diberi penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd dan juga standard Emas, penarafan tertinggi untuk rangka kerja Sukuk Kelestarian agensi penarafan itu," katanya.
SME Bank kini sedang dalam proses penerimagunaan ESG secara menyeluruh dan komprehensif dalam operasinya.
Ia kini dalam tahun kedua pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun di mana tumpuan menginstitusikan budaya ESG di seluruh bank dan mewujudkan kesedaran ESG secara maksimum dengan pelanggan dan menetapkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang komprehensif dan tersendiri.
Pembangunan Rangka Kerja SDG ini melibatkan beberapa perkara penting seperti penilaian materialiti antara pihak berkepentingan SME Bank, mengenal pasti jurang dan menyelaraskan strategi SME Bank dengan matlamat ESG. - DagangNews.com








