KUALA LUMPUR 14 Sept - Sempena pelancaran rasmi model pertama, smart #1 beberapa bulan lagi, smart Malaysia meningkatkan tahap keterujaan pasaran kenderaan elektrik (EV) dengan melancarkan versi pertama Hello smart App.
Ia adalah sebuah aplikasi inovatif yang meningkatkan pendigitalan yang akan memberikan pengalaman premium untuk pelanggan smart.
Pelancaran aplikasi ini menegaskan komitmen syarikat untuk memperkasakan pelanggan smart #1 dengan menyelaraskan teknologi ke dalam rutin harian, serta meningkatkan keselesaan keseluruhan pengalaman mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan hubungan antara pemilik kenderaan smart serta kereta mereka.
"Kami teruja untuk memperkenalkan Hello smart App, yang membawa integrasi ke tahap lebih tinggi, dan memberi penglibatan kepada pengguna supaya kekal berhubung.
"Kami yakin aplikasi ini akan meneguhkan rasa cinta pemilik terhadap jenama smart dengan menawarkan pengalaman yang inovatif dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Setelah kajian meluas bagaimana pemilik mengintegrasikan penggunaan kenderaan EV dengan gaya hidup digital mereka, Hello smart App memperkenalkan empat ciri dalam aplikasi yang baru dalam pasaran EV di Malaysia.

Ini termasuk Peta Pengecasan Atas Talian & Sistem Navigasi, Permohonan Tempahan dan Pinjaman Pembiayaan Kenderaan, ‘One-Stop Service Home Charging Solution’, dan Penglibatan Komuniti yang secara keseluruhan, menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar dan peluang untuk berinteraksi dengan komuniti smart.
Salah satu ciri istimewa yang inovatif adalah Peta Pengecasan Atas Talian. Walaupun jumlah pemilik EV terus meningkat dengan mendadak, kebimbangan tentang jarak perjalanan tetap menjadi masalah utama.
Menyedari keperluan untuk menangani masalah ini, smart Malaysia telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan pengecasan EV untuk menjadi aplikasi pertama daripada jenama automotif di Malaysia yang menawarkan peta pengecasan yang komprehensif.
Informasi langsung mengenai stesen pengecasan termasuk status penggunaan boleh diakses melalui aplikasi Hello smart app dan 70% daripada stesen pengecasan awam telah diintegerasi sehingga kini.

Ini menghilangkan keperluan untuk penggunaan aplikasi-aplikasi yang berbeza dan membolehkan pemilik untuk mencari lokasi stesen pengecasan yang sedia ada, memulakan proses pengecasan, dan membuat pembayaran.
Hello smart App kini boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei App Gallery.
Jika berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Hello smart App, sila layari laman web smart Malaysia di https://my.smart.com/#/connectivity. - DagangNews.com








