KUALA LUMPUR 29 Ogos - SkyWorld Development Bhd akan membayar RM32.17 juta kepada Perbadanan PR1MA Malaysia untuk hak pembangunan bagi membina 491 unit rumah mampu milik di Brickfields.
SkyWorld, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aspirasi Cekap Sdn Bhd (ACSB), menerima surat anugerah (LOA) daripada PR1MA pada Rabu untuk melaksanakan projek itu.
ACSB dan PR1MA akan menandatangani perjanjian pembangunan bersama dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan LOA atau tarikh lain yang ditetapkan oleh PR1MA.
PR1MA, sebuah agensi perumahan mampu milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyediakan tanah untuk pembangunan itu.
SkyWorld pula akan membiayai dan menyiapkan projek itu menggunakan dananya sendiri.
Di samping itu, untung bersih SkyWorld menurun sebanyak 76.21% bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY2025) kepada RM9.99 juta atau satu sen sesaham, daripada RM42 juta atau 7.92 sen sesaham setahun sebelumnya.
Hasil SkyWorld susut sebanyak 53.13% kepada RM98.81 juta daripada RM210.82 juta setahun sebelumnya.
Hasil 1QFY2025 menandakan pendapatan suku tahunan terendah kumpulan sejak penyenaraiannya di pasaran utama pada Julai 2023.
Pada akhir Jun, kumpulan itu melaporkan wang tunai dan baki bank sebanyak RM515.28 juta serta jumlah pinjaman sebanyak RM497.84 juta. - DagangNews.com








