Sisma Auto buka Pusat 3S BYD terbesar bernilai RM5 juta di Glenmarie | DagangNews Skip to main content

Sisma Auto buka Pusat 3S BYD terbesar bernilai RM5 juta di Glenmarie

Pusat 3S BYD Sisma Auto terletak di Glenmarie, Shah Alam, Selangor
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kumpulan automotif premium berbilang jenama, Sisma Auto membuka Pusat 3S BYD terbesar di Glenmarie, Shah Alam, Selangor, yang akan menjadi hab automotif utama di Lembah Klang.


 
Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata, Pusat Glenmarie yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu merupakan kemudahan BYD Kelas A di Malaysia.

 

Beliau berkata, pusat 3S itu menampilkan bilik pameran bagi sembilan buah kereta dan 16 petak servis untuk memenuhi permintaan pelanggan BYD yang semakin bertambah. 


 
Katanya, bilik pameran kereta yang luas itu direka untuk mempamerkan semua model baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi di pasaran tempatan. 

 

"Pusat servis dengan 16 petak pembaikan ini memiliki kapasiti untuk menerima lebih 1,000 pelanggan sebulan. 

 

"Pusat servis yang termaju ini dilengkapi dengan peralatan diagnosis terkini, alat dan kelengkapan khas serta kawasan simpanan dengan suhu yang terkawal untuk menyimpan komponen bateri kuasa yang sensitif. 

 

"Bilik Kenderaan Tenaga Baharu turut disediakan untuk membaiki semua komponen voltan tinggi," katanya dalam kenyataan.

 

sisma
(Dari kiri) Pengurus Besar Sime Darby Beyond Auto, Joinh Lim, Syed Khalil Syed Ibrahim dan Pengarah Sisma Auto, Syed Iskandar Syed Hussain.

 

 

sisma

 

 

Menurut Syed Khalil, dengan sejarah perkongsian perniagaan dengan jenama automotif selama 30 tahun, syarikat bersedia untuk menawarkan pengalaman 3S premium kepada para pemilik BYD di Malaysia.


 
Beliau berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin hubungan perniagaan dengan BYD dan pengedarnya di Malaysia, Sime Darby Motors. 

 

Katanya, mereka percaya masa depan industri automotif adalah kenderaan elektrik (EV) dan sebagai pembuat Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) nombor satu di dunia, BYD berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadi peneraju masa depan tenaga elektrik. 

 

 

sisma

 

 

sisma

 

 

sisma

 

 

"Reka bentuk dan ciri Pusat 3S kami mencerminkan kedudukan premium serta kualiti produk jenama. 

 

"Sambutan daripada pasaran Malaysia yang diterima oleh BYD Atto 3 sangat menggalakkan dan kami teruja untuk memperkenalkan lebih banyak model BYD pada bulan-bulan yang akan datang," katanya.


 
Sempena dengan pembukaan Pusat 3S BYD Sisma Auto akan menganjurkan 'Karnival Electric Dreams BYD Sisma Auto' diadakan mulai 2 hingga 11 Jun 2023 bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang. - DagangNews.com