Sime Darby Property, TNB jalin kerjasama strategik teroka pembangunan inisiatif tenaga mampan | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property, TNB jalin kerjasama strategik teroka pembangunan inisiatif tenaga mampan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (tiga dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican (kiri) ketika memeterai perjanjian kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat itu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Sime Darby Property Berhad terus menjalinkan kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi penerokaan serta pembangunan inisiatif tenaga mampan. 

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka potensi perkongsian usaha sama bagi menyelaras penyelesaian solar bumbung di perbandaran dan pembangunan baharu syarikat itu.

 

Projek perintis kediaman termasuk pajakan ruang bumbung serta pelaksanaan penyelesaian solar bumbung ke atas 1,000 hartanah sedia ada dan akan datang di Bandar Elmina dan perbandaran yang lain.

 

Selain itu, Sime Darby Property dan TNB juga akan meneroka pelaksanaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dalam perbandaran.

 

Kedua-dua rakan strategik ini juga akan bekerjasama dalam meneroka penyelesaian mikrogrid di perbandaran, taman perindustrian dan bank tanah. 

 

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, strategi mereka dalam membangunkan membangunkan portfolio yang mampan dan berdaya maju secara komersial bagi menerajui peralihan industri hartanah domestik kepada tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

"Ia juga menandakan komitmen kami untuk mengurangkan jejak karbon syarikat serta memainkan peranan kami dalam agenda hijau negara.

 

“RE bukan sekadar melibatkan penjanaan elektrik untuk menangani isu sumber terhad malahan memupuk minda mengenai kepentingan alam sekitar dan sosial. 

 

"Dengan meneruskan inisiatif berfokuskan kemampanan, kami dapat menyokong usaha Malaysia untuk mencapai matlamat tenaga bersih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, dalam sebuah pembentangan bertajuk Sime Darby Property – Penyelesaian Solar untuk Perbandaran, kumpulan itu telah memetakan penglibatannya dalam penyelesaian bumbung untuk pengeluaran tenaga solar sejajar dengan rancangan menjadi syarikat hartanah dengan pelbagai aliran pendapatan menjelang 2025. - DagangNews.com