KUALA LUMPUR 26 Okt - Sime Darby Plantation Bhd. menyasarkan untuk menggandakan pengeluaran minyak sawit kumpulan kepada lapan tan metrik per hektar menjelang 2050 menerusi penghasilan biji benih GenomeSelect (GS), demikian menurut Maybank Investment Bank (IB).
Walaupun masih di peringkat awal, penghasilan biji benih itu adalah kunci kepada pertumbuhan masa depan ekoran masalah kekurangan tanah, tiada komitmen penebangan hutan dan tekanan kos yang meningkat.
Firma itu berkata, GS tidak diubah suai secara genetik tetapi hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan Sime Darby Plantation selama tujuh tahun.
Katanya, benih itu boleh memberikan peningkatan hasil minyak sehingga 15% melebihi biji benih Calix600, dengan purata 6.1 tan metrik per hektar merentasi semua persekitaran (hasil Calix600: 5.3 tan metrik per hektar), dan potensi hasil melebihi 10 tan metrik per hektar dalam persekitaran paling subur.
Malah, menurutnya, Sime Darby Plantation memiliki pasukan R&D yang mantap dan setakat ini sudah membuat pelaburan sebanyak RM150 juta.
"Baru-baru ini, kami mengunjungi pusat R&D kumpulan di Selangor untuk lebih memahami kemajuan bahan tanaman GS yang pertama kali ditanam secara komersial pada 2016.
"Disebabkan kekangan biji benih sedia ada, hanya 3,900 hektar sahaja ditanam dengan GS sejak tempoh itu, dan kumpulan menyasarkan untuk meningkatkan pengeluarannya akhir tahun ini daripada 1.47 juta biji benih GS yang dihasilkan tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Data daripada penanaman komersial awal di estet Dusun Durian dan Jubli Berlian telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan Dusun Durian (GS, SPH: 180) merekodkan hasil buah tandan segar sebanyak 31.2 tan metrik, 34.5 tan metrik dan 37.7 tan metrik per hektar masing-masing untuk penuaian bagi tahun pertama, kedua dan ketiga.
Bagi Diamond Jubilee (GS, SPH 160), di sebalik hujan yang rendah (kurang 100mm sebulan dari 2019-2020), hasil buah tandan segar yang dituai juga cukup baik pada 15.8 tan metrik, 10.2 tan metrik dan 20.6 satu tan metrik per hektar masing-masing untuk penuaian bagi tahun pertama, kedua dan ketiga.
Menurut Maybank IB, Sime Darby Plantation akan mempunyai bekalan biji benih GS yang mencukupi pada 2023 bagi memenuhi keperluan tanam semula bagi ladang sawit di Malaysia.
"Menjelang 2033, kumpulan menyasarkan 50% daripada kawasan tanamannya di Malaysia (kira-kira 297,000 hektar) akan ditanam semula dengan biji benih GS.
"Dalam pada itu, ia turut memperkenalkan generasi baharu GS, yang dijangka mampu menjana hasil minyak 4% lebih tinggi daripada generasi pertama," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Sime Darby Plantation dengan harga sasaran pada RM4.42 sesaham.
Setakat 10.38 pagi ini, harga sahamnya menokok 4 sen atau 0.9% kepada RM4.46 dengan 450,800 saham diniagakan. -DagangNews.com








